KUALA LUMPUR – Imam Besar Masjid Putra di Putrajaya, Ikmal Zaidi Hashim malam ini memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam ekoran reaksi keterlaluannya dalam isu kuota solat di masjid berkenaan.

“Saya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh dan dekat atas reaksi saya keterlaluan dan video yang tular seluruh negara pada Jumaat yang lalu

“Dengan rendah hati atas ketelanjuran dan memohon maaf dan berazam akan memperbaiki keadaan terutama pelaksanaan SOP di Masjid Putra,” katanya dalam video di facebook Masjid Putra Putrajaya malam ini.

Ikmal Zaidi seterusnya mengajak jemaah untuk terus hadir untuk aktiviti solat Jumaat dan fardu di masjid di mana beliau bertugas itu.

Baru-baru ini timbul spekulasi membabitkan sebuah video yang tular apabila sekumpulan individu berkumpul di hadapan pintu masuk Masjid Putra kerana tidak dapat masuk untuk solat Jumaat berjemaah kerana kuota telah penuh.

Rakaman tersebut mendakwa seorang kenamaan (VIP) mendapatkan layanan istimewa adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Susulan salah faham itu, pihak Masjid Putra pada Sabtu mengeluarkan kenyataan permohonan maaf serta memaklumkan bahawa pengurusan masjid memperuntukkan sebanyak 300 kuota untuk kehadiran berjemaah untuk solat Jumaat.

Bagaimanapun Ikmal Zaidi dalam videonya selepas itu secara keterlaluan tidak mahu memaafkan individu yang merakam video berkenaan dan mahu pelaku datang meminta maaf kepadanya.

Video itu kemudian tular sehingga menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan orang ramai yang berpendapat tidak wajar seorang imam masjid bertindak sedemikian.- MalaysiaGazette