Suasana kecoh di Dewan Rakyat sehingga memaksa Timbalan Speaker mengarahkan Ahli Parlimen Jelutong keluar dewan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diarahkan keluar Dewan Rakyat oleh  Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon selepas dianggap menghinanya beberapa minit sebelum sesi pagi ditamatkan.

Rayer sebelum itu bangun menyatakan perbuatan Mohd Rashid sebagai memalukan kerana tidak memaklumkan keputusan mengenai usul percaya pada Speaker yang telah ditolak.

“Saya bertanggungjawab terhadap kesemua 12 usul percaya kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun,  termasuk yang telah dihantar semula oleh ahli Parlimen daripada parti Amanah.

“Saya menolaknya kerana terdapat kesilapan teknikal selepas merujuk kepada penasihat undang-undang.

“Saya sudah juga memberikan jawapan balas kepada semua 12 pengusul dan semaklah jawapan itu,” katanya ketika diajukan perkara demikian.

Jelasnya, penolakan itu adalah muktamad dan tidak akan menerima sebarang rayuan.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang rasa kurang senang ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Rayer yang bangun menyatakan perbuatan itu memalukan.

“Perbuatan dan tindakan Timbalan Speaker bukan hanya memalukan di dalam Dewan malah di luar Dewan juga,” katanya.

Mohd Rashid meminta Rayer menarik semula perkataan itu tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Selepas tiga kali diberi amaran, ahkirnya Mohd Hasnon menghalau keluar dan tidak dibenarkan memasuki Dewan selama dua hari.

Tindakan itu juga membuatkan keadaan Dewan Rakyat semakin kecoh dan rata-rata ahli Parlimen menjerit perkataan ‘memalukan’.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat diajukan persoalan mengenai isu percaya kepada Speaker tidak dimasukkan ke dalam senarai usul yang akan dibahas.

Ahli Parlimen Puchong, Gobinh Singh Deo meminta agar jawapan diberikan terhadap perkara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast