SEELONG – Penduduk Kampung Baru Sri Aman di sini kecoh apabila dua penduduknya pengsan akibat terhidu bau yang kurang menyenangkan dipercayai daripada pencemaran pembuangan sisa-sisa kimia di sungai berhampiran.

Salah seorang penduduk, Hafiz Badrul Hisham, 37, mendakwa beliau salah seorang yang terhidu bau yang menyesakkan nafas itu yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Menurutnya, bau itu mengakibatkan rasa menyakitkan di kerongkongnya dan tidak selesa.

Menurutnya, bau kurang enak itu seolah-olah bau petrol.

“Semasa itu saya di luar rumah, tiba-tiba saya ada bau macam sejenis cecair tidak menyenangkan dan hingga sesak nafas dibuatnya.

“Jadi, saya cuba mencari ada kemungkinan dia daripada petrol tetapi bila cari bau itu makin lama semakin kuat,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Menurut Hafiz, jiran-jirannya pun keluar rumah selepas menghidu pencemaran bau yang sama sebelum melihat ada antara mereka mula batuk-batuk dan dua daripadanya pengsan.

“Seorang kakak (jiran) batuk-batuk dan saya terus beri bantuan membawanya masuk ke dalam rumah sementara tunggu bomba sampai,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette  mendapati pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba di kawasan berkenaan dan salah seorang penduduk diberi bantuan pernafasan ekoran sesak nafas.

Punca sebenar kejadian masih belum diketahui.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast