KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kulim Bandar baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertikaikan pembukaan semula destinasi pelancongan, Langkawi mulai esok.
Katanya, pembukaan semula Langkawi bertentangan dengan tiga petunjuk utama peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumum Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri membabitkan kadar jangkitan harian, keupayaan kapasiti sistem kesihatan awam dan peratus rakyat divaksin.
Menurutnya, kes jangkitan Covid-19 hari ini masih mencecah lima angka, berbeza dengan petunjuk utama yang diuarkan iaitu 500 jangkitan harian untuk membuka kembali sektor ekonomi.
Justeru itu, beliau menggesa kerajaan memberi penjelasan terperinci adakah peralihan fasa PPN yang diumum sebelum ini masih digunakan atau sebaliknya.
“Misalnya pelancongan Langkawi dibuka (mulai esok) kalau ikut peralihan fasa Pagoh (ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri) ini hanya akan berlaku jika kes harian kurang 500, sekarang kes harian masih lagi lima digit (lima angka)
“Jadi apakah ini syor berasaskan sains dan data? Atau peralihan pelan sudah tidak terpakai? Saya perlukan penjelasan berkenaan perkara ini,” kata Setiausaha Agung PKR itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Langkawi menjadi projek rintis gelembung perjalanan yang mana ia akan dijadikan sandaran untuk membuka lebih banyak destinasi pelancongan selepas ini. – MalaysiaGazette