Keadaan sekitar lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Height, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penduduk yang mendiami unit rumah bandar (town house) di Jalan BKI-2, Kemensah Heights, di sini, memohon agensi berkaitan menyegerakan kerja-kerja pembersihan sungai dan pemasangan tembok penahan.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Bukit Kemensah Indah, Nizam Saleh berkata, penduduk berhampiran kawasan tanah runtuh itu kini khuatir sekiranya kejadian tidak diingini seperti yang berlaku kelmarin mula merebak ke unit kediaman mereka.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Bukit Kemensah Indah, Nizam Saleh. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2021.

“Saya nak maklumkan walaupun kejadian tanah runtuh itu di kawasan atas tetapi impak daripada kejadian tersebut membabitkan Taman Bukit Kemensah Indah ini yang sebenarnya terjejas teruk, sepatutnya kerja-kerja pembersihan sungai dijalankan petang semalam tetapi berikutan hujan lebat maka keadaan sungai menjadi semakin teruk sehingga terdapat lima hingga enam unit rumah di bawahnya sudah berlubang besar.

“Jadi kita minta kepada agensi yang terlibat untuk mempercepatkan kerja-kerja pembersihan sungai dan tembok penahan.

“Sekarang ini yang terlibat adalah enam unit rumah tetapi berikutan langkah berjaga-jaga maka kami sebanyak 24 unit rumah terpaksa dipindahkan pada waktu malam untuk menginap di Dewan AU5 dan ada juga yang menumpang di rumah saudara-mara serta hotel,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Nizam yang mewakili penduduk rumah bandar yang dipindahkan susulan kejadian tersebut turut meminta kebajikan mereka dapat diutamakan.

Jelasnya, penduduk di kawasan berkenaan ketika ini sedang menanti kunjungan daripada pemimpin setempat.

“Kita minta pihak-pihak berkenaan supaya ambil tahu, sekarang ini pun kita nampak orang kenamaan atau agensi lebih kepada orang di atas sana, kami ini pula seperti ternanti-nanti kunjungan daripada pemimpin setempat.

“Semalam pun MB Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) ada datang dan maklumkan mengenai peruntukan kepada 24 unit rumah,” katanya.

Keadaan sekitar lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Heights, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2021.

Jelas Nizam, sekiranya kerja-kerja pembersihan tidak dapat disempurnakan dalam masa terdekat, beliau bimbang mengenai implikasi yang bakal ditanggung oleh penduduk di unit rumah bandar berkenaan.

“Kita takut rumah lain pun akan terjejas sama, selepas hujan lebat semalam sudah ada lubang besar yang terhasil, sekiranya tanah yang menimbus kawasan sungai tidak dibersihkan segera maka tiada laluan air (sungai) yang sempurna.

“Esok pula semua dah mula bekerja, penduduk pun tak selesa dengan keadaan seperti ini walaupun mereka dah ditawarkan penempatan sementara di Dewan AU5 tetapi saya tak rasa semua orang akan ke sana,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast