KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta agar tidak meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) kerana ia lebih mementingkan pihak-pihak dalam industri eksport tanpa menghiraukan kesan terhadap ekonomi tempatan khususnya Perusahaan Kecil Sederahana (PKS).
Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berkata, lambakan import barangan yang lebih murah akan menjahanamkan peluang perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) untuk bangkit dan menjadikan negara sebagai negara pengguna semata-mata.
Beliau mendakwa, perjanjian perdagangan yang kononnya bebas tetapi tidak adil itu akan memberi kesan kepada pengeluar, PKS, petani, pesakit dan pengguna juga.
“Kerajaan mesti menerima hakikat bukan semua perniagaan yang akan menikmati faedah yang dicanangkan oleh mereka yang menyokong untuk menyegerakan perlaksanaan CPTPP.
“Yang lebih aneh kerajaan ingin meratifikasikan CPTPP yang di tandatangani pada 2019, berdasarkan TPPA yang dimuktamadkan pada 2015, yang mana 22 provisi ditangguh sementara, sekali gus mengecikan lagi ruang dan kemampuan kerajaan secara tetap, untuk melaksanakan apa-apa perubahan dasar yang berkaitan dan yang diperlukan.
“Di manakah kedaulatan kita kalau kita terpaksa mengubah undang-undang untuk mengikuti telunjuk perjanjian perdagangan yang memiliki lebih 30 bahagian yang memberi kesan pada setiap aspek ekonomi negara kita termasuklah perolehan kerajaan?
“Bukankah ini akan menyukarkan lagi ruang kerajaan untuk melakukan intervensi bagi menyokong industri yang masih memerlukan perlindungan dan bantuan?,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Abdul Halim berkata, MTEM menzahirkan kerisauan dan menyatakan Perjanjian CPTPP adalah ibarat menjual dan memperdagangkan negara sendiri kerana terpengaruh dengan janji-janji indah, tanpa apa-apa bukti jelas akan menguntungkan negara.
Jelasnya, tidak ada kajian yang menggambarkan negara akan berjaya meningkatkan kadar eksport dan ekonomi mahupun memberi keuntungan kepada isi rumah.
Ujarnya, segala kebaikan CPTPP boleh dicapai dengan perjanjian perdagangan bebas di antara dua negara dan perlu terhad kepada barangan sahaja.
Tambahnya, tidak pernah dalam sejarah perjanjian perdagangan merangkumi terlampau banyak perkara yang didagangkan sebaliknya, apa yang pernah didengar ialah Perjanjian Syarikat Hindi Timur menjadi sebahagian empayar British selama ratusan tahun lamanya.
“Malah, Malaysia telah pun menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan semua negara CPTPP kecuali Kanada, Mexico dan Peru, yang mana pasaran eksport tidak signifikan atau kurang daripada satu peratus eksport ke negara berkenaan,” katanya.
Menurutnya lagi, pelaburan asing yang diharapkan juga tidak akan berlaku kerana di dalam CPTPP tidak dibenarkan untuk meletakkan syarat-syarat bagi mendapat pelaburan asing yang berkualiti seperti keperluan pemindahan teknologi, keperluan untuk menggunakan barangan Malaysia dan sebagainya.
“Dan sekiranya kita mengenakan syarat, pelabur boleh menyaman negara kita…pada tahun 2019, kerajaan Pakistan berkata disaman oleh syarikat perlombongan antarabangsa dan terpaksa membayar ganti rugi sebanyak AS$5 billion.
“Pada Ogos 2020 pula, dua syarikat operator lapangan terbang Perancis telah menuntut ganti rugi menggunakan ISDS terhadap Chile, setelah konsesi mereka terjejas akibat tindakan kerajaan melakukan usaha mengawal pandemik Covid-19…Adakah pembukaan ekonomi seperti ini yang kita inginkan? soal beliau.
Tegasnya, MTEM mewakili komuniti ekonomi Bumiputera bersama dengan puluhan badan bukan kerajaan (NGO) merayu agar kerajaan tidak mudah terpedaya dengan perkara itu kerana boleh menganiaya generasi akan datang.
Katanya, bukan sahaja PMKS Bumiputera yang akan menerima akibat sebaliknya semua PMKS tanpa mengira bangsa akan terkesan.
“Kenapa kita perlu berasa bangga menyertai CPTPP hanya untuk kepentingan yang sedikit tanpa menyedari kerugian yang lebih besar.
“Ini bukan caranya untuk memaksa urus tadbir yang lebih baik dalam negara mahupun strategi meningkatkan pulangan buat negara…ketebalan perjanjian perdagangan yang mempunyai 1000 provisi belum pernah memastikan kemajuan mana-mana negara membangun tercapai, dimana kedaulatannya terpelihara serta kemakmuran rakyatnya terjamin,” tegasnya. – MalaysiaGazette