Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tun Hanif Omar hari ini memohon maaf secara terbuka terhadap ahli politik veteran, Lim Kit Siang bagi menyelesaikan kes saman fitnah terhadapnya.

Hanif sebelum ini membuat kenyataan dengan mendakwa Kit Siang cuba membahagikan Malaysia mengikut garis kaum.

Permohonan maaf itu dilakukan di mahkamah terbuka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Quay Chew Soon hari ini.

Peguam mewakili Kit Siang, Sangeet Kaur Deo mengesahkan permohonan maaf persetujuan menyelesaikan saman selain draf perintah persetujuan turut diberikan kepada media.

Dalam salinan itu, Hanif memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Kit Siang pada Konvensyen Keramah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 6 September 2018.

“Dengan ini saya mmohon maaf berhubung kenyataan yang saya buat ke atas Lim Kit Siang semasa Konvensyen Keramah Bangsa di UiTM pada 6 September 2018. Saya menarik balik semua kenyataan saya tanpa syarat.

“Saya mengesahkan bahawa penangkapan Lim Kit Siang pada tahun 1969 bukan atas dasar bahawa dia menuntut agar Malaysia dibahagikan atau dipisahkan berdasarkan garis perkauman dan selanjutnya mengesahkan bahawa dia tidak pernah mencadangkan sedemikian,” katanya.

Selain daripada Hanif, akhbar Sinar Harian juga telah bersetuju untuk menerbitkan permohonan maaf secara bertulis berhubung penyiaran kenyataan dikeluarkan oleh bekas KPN itu pada September 2018.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Putri telah mengemukakan tuntutan saman terhadap Hanif selepas beliau mengaitkannya dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Kit Siang turut menamakan Sinar Harian sebagai defenden kedua dalam saman selepas penerbitan artikel bertajuk ‘ Tun Hanif buat pendedahan DAP’, ‘Pas dan tak nyanyuk’ pada 6 dan 11 September 2018. – MalaysiaGazette