Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Dua keping cek berjumlah RM6 juta yang diberikan kepada Yayasan Akalbudi merupakan sumbangan politik dan bukannya rasuah.

Peguam bela Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Hamidi Mohd Noh berkata, wang itu tidak pernah diterima oleh tertuduh yang merupakan pengasas yayasan tersebut, sebaliknya ia diserahkan kepada Lewis & Co iaitu pemegang amanah bagi Yayasan Akalbudi.

“Malah perkara ini diakui sendiri oleh saksi pendakwaan ke-32 dan ke-34 iaitu pemilik syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd (SKSB), Datuk Abu Hanifah Noordin dan Ben Ben.

“Mereka telah hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan dan menyatakan bahawa ia adalah sumbangan politik dan amal jariah sebelum ini ketika prosiding,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Ahmad Zahid yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri  berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini pertuduhan ke-14 dan 15, Ahmad Zahid didakwa telah menerima dua suapan sebanyak RM6 juta daripada Ben Ben sebagai upah melantik syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB).

Ia untuk melaksanakan projek cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia di Jabatan Imigresen secara rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Collin kemudian mencelah dan bertanya bagaimana dana sebanyak itu dimasukkan ke Yayasan Akalbudi.

Beliau turut bertanya bagaimana wang tersebut dikatakan sumbangan politik tetapi dalam masa sama ia adalah sumbangan kebajikan.

Menurut Hamidi, bagi saksi kedua-dua perkataan itu adalah perkara yang sama.

Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette