“Big brother is watching you”;, satu ungkapan popular di dalam novel Nineteen
Eighty-Four karya George Orwell 1949. Ungkapan tersebut menggambarkan bagaimana satu kelompok masyarakat berada di dalam pengawasan berterusan oleh pihak berkuasa melalui Kamera CCTV (Surveillance Camera). Penulis, George Orwell, cuba menggambarkan sebuah negara totalitarian yang mengamalkan falsafah pemerintahan negara secara total dan mutlak. Setiap gerak-geri rakyat dipantau dan segala aktiviti ekonomi dieksploitasi bagi kepentingan pemerintah dan pihak berkuasa.
Perkara ini tidak berlaku melainkan dalam sistem pemerintahan autokrasi dan
mengamalkan sistem ekonomi sosialis mahupun komunis. Pemerintah menentukan segala
bentuk pengeluaran (mode of production) dan juga penggunaan sumber yang boleh
digunakan bagi kepentingan ekonomi pemerintah. Tidak ada penglibatan syarikat-syarikat
persendirian mahupun penyertaan individu dalam pembuatan keputusan berkaitan ekonomi.
Dunia moden hari ni digambarkan oleh cendekiawan sebagai menyamai apa yang
diimaginasikan oleh Orwell pada tahun 1949 tersebut. Walaupun dalam konteks yang
berbeza, karya ulung Orwel yang berusia 72 tahun tersebut menjadi titik persamaan terhadap pemerintahan yang ekstrem dan bahaya kuasa yang keterlaluan bagi institusi sama ada institusi awam mahupun swasta. Dalam konteks semasa hari ini syarikat-syarikat gergasi, terutamanya yang memiliki penguasan yang besar dalam pasaran memberi kesan dan pengaruh besar terhadap individu.
Syarikat-syarikat teknologi gergasi (Big Tech), seperti Facebook (FB), Amazon
(AMZN), Apple (AAPL), Netflix (NFLX); dan Alphabet (GOOG) secara tidak langsung
mempengaruhi gaya hidup masyarakat moden hari ini malahan dari satu sudut mereka turut mengawasi para pengguna. Big Tech ini popular dengan gelaran FAANG di Pasaran Saham New York dan mempunyai saiz modal berbayar (market cap) berjumlah US$ 7.1 trilion.
Satu jumlah yang menyamai lebih 20 kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
Malaysia. Ini bermaksud, jika syarikat-syarikat ini adalah sebuah negara, nilai mereka adalah bersamaan dengan 20 kali pendapatan sesebuah negara yang mempunyai saiz pengeluaran seperti negara kita Malaysia. Jika dilihat kepada jumlah pendapatan dan keuntungan syarikat-syarikat ini, pastinya ia jauh lebih besar.
Walaupun dari sudut positif, syarikat-syarikat ini membawa satu dimensi baharu
dalam gaya hidup masyarakat yang bergantung kepada teknologi, Internet Pelbagai Benda (IoTs), pendigitalan dan sebagainya, satu perkara yang kita sebagai pengguna sedar namun terpaksa merelakannya adalah pemilikan data peribadi oleh syarikat-syarikat besar ini. Data yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan data peribadi seperti jantina, tarikh lahir, umur, status perkahwinan, tempat tinggal dan seumpamanya, ia melangkaui perkara tersebut.
Data mengenai kelakuan kita seharian, cara kita mengakses Internet, pergerakan
harian, laman web yang dikunjungi dan seumpamanya direkodkan oleh syarikat teknologi
tersebut. Google dan Facebook antara yang paling banyak memperoleh data-data tersebut berdasarkan kepada jumlah pengguna yang tinggi dan kebergantungan pengguna kepada aplikasi mereka. Ini menjadikan segala aspek kehidupan seharian kita seolah-olah “diawasi” dan “dikawal” oleh gergasi teknologi tersebut.
Persoalannya, untuk apa mereka mengawasi kita? Jika “Big Brother” yang dinyatakan di dalam buku Nineteen Eighty-Four bertujuan untuk mengawasi dan memerhati segala tindak tanduk masyarakat demi kepentingan institusi pemerintah, masyarakat moden hari ini “diawasi” melalui data-data mereka bagi kepentingan “Big Tech”. Data yang seharusnya menjadi hak milik peribadi telah dikomodifikasi bagi kepentingan pemilik-pemilik modal untuk membuat keuntungan. Ironi sekali, data yang secara lazimnya adalah milik pengguna telah menjadi barang dagangan (commodification) oleh "Big Tech" ini.
Malahan, pengguna sendiri tidak mempunyai hak terhadap data mereka. Perkara ini telah dikritik oleh Shoshana Zuboff, dalam buku beliau bertajuk “The Age of Surveillance Capitalism: The Fight for a Human Future at the New Frontier of Power”. Zuboff, Professor di Universiti Harvard menggunakan terma “rendition” atau penyah-milikan pengalaman manusia bagi menyamakan aktiviti komodifikasi dengan perbuatan pengekstrakan maklumat-maklumat daripada data pengguna. Walaupun undang-undang mengenai perlindungan data (seperti Personal Data Protection Act – PDPA), telah diwujudkan oleh pelbagai pihak dan negara, syarikat-syarikat teknologi gergasi ini terlepas daripada sebarang bentuk halangan dalam mengumpul data-data yang mereka peroleh
daripada pengguna.
Sebagai pengguna teknologi hari ini, aplikasi seperti Facebook, Google, Twitter dan WhatsApp merupakan aplikasi yang tidak asing lagi bagi seluruh masyarakat dunia yang
mempunyai peranti elektronik. Malahan banyak lagi aplikasi yang dipasang oleh pengguna
gajet berdasarkan segmen pengguna yang berbeza-beza. Tidak dinafikan aplikasi-aplikasi ini mempunyai manfaat yang sangat besar kepada pengguna, malahan banyak membantu urusan seharian dan dalam masa yang sama memudahkan pengguna membuat keputusan dalam hal seperti membuat pilihan berkenaan sesuatu pembelian dan sebagainya.
Bukan sesuatu yang aneh sekarang ini apabila pengguna ingin mendapatkan sesuatu
dan melakukan "carian" di dalam enjin pencari, dalam beberapa ketika, iklan-iklan berkaitan akan muncul di dalam "newsfeed" di aplikasi Facebook peribadi masing-masing. Bahkan telah ada beberapa usaha untuk membangunkan satu sistem yang bukan sahaja dapat memadankan carian yang telah dilakukan, malahan memadankan apa yang sedang difikirkan dengan apa jua bentuk pengiklanan yang terdapat di dalam sesuatu platform.
Melalui algoritma komputer, ini tidak mustahil. Ini adalah salah satu cara bagaimana teknologi yang dimiliki oleh Big Tech untuk mengoptimumkan data yang mereka ada bagi tujuan memaksimumkan keuntungan mereka. Hal sedemikian juga boleh di aplikasi oleh syarikat teknologi yang lain, namun pencapaian data mereka adalah terhad berbanding syarikat-syarikat teknologi gergasi ini. Untuk memisahkan pengguna daripada penggunaan teknologi hari ini adalah suatu yang mustahil kerana teknologi ini telah menjadi norma dalam kehidupan masyarakat, apatah lagi dalam waktu pandemik hari ini, ramai dalam kalangan pengguna bergantung kepada penggunaan aplikasi-aplikasi yang ditawarkan oleh "Big Tech" tersebut.
Penulis berpendapat, untuk menyatakan ekonomi digital adalah suatu yang berasingan dengan idealisme kapitalis, ia adalah sesuatu yang naif. Ekonomi digital ini juuga mempunyai susur galur kepada epistemologinya, iaitu Surveillance Capitalism yang mengeksploitasi data-data bagi menjana keuntungan berlipat ganda. Matlamat mereka antaranya adalah untuk memastikan kita sebagai pengguna untuk berterusan kekal terikat (engage) dengan teknologi-teknologi ini.
Pemodal-pemodal besar ini pastinya tidak akan berhenti untuk melabur secara besar-besaran di dalam teknologi baharu bagi memastikan mereka terus dapat mengawasi pengguna sekaligus mengekstrak data dan dalam masa yang sama menjadikan pengguna, secara tidak sedar, untuk terus kekal sebagai pengguna setia mereka. Dalam hal ini, "konsumerisme" menjadi paradigma mereka dalam memenangi pasaran yang luas terbentang.
Bagi bersaing dengan syarikat teknologi gergasi ini ia adalah suatu yang mustahil.
Menyediakan alternatif kepada paradigma kapitalis (Counter Surveillance Capitalism) ini
juga dilihat sukar dalam keadaan hari ini kebergantungan masyarakat adalah sangat tinggi kepada "Big Tech" ini. Justeru, bagi "institusi" yang ingin memanfaatkan ekonomi teknologi digital perlulah melihat kepentingan awam melangkaui kepentingan syarikat-syarikat persendirian bagi memastikan harta kekayaan dan manusia itu sendiri tidak dieksploitasi. Institusi kewangan, perbankan, perniagaan dan pentadbiran yang mengguna pakai jenama Islam seharusnya peka dengan situasi ini dan memastikan penggunaan teknologi tidak hanya memberikan keuntungan semata-mata kepada pihak tertentu dan membenarkan kekayaan itu berlegar dalam kalangan mereka sahaja.
Oleh: Dr. Mohd Fauzi Abu @ Hussin