KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal Ketiga (CMP3) yang akan berfungsi sebagai rangka kerja strategik bagi pertumbuhan pasaran modal Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ia berusaha untuk memanfaatkan daya tahan dan potensi pasaran modal Malaysia bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif.
CMP3 dilancarkan melalui acara maya yang telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, Malaysia kini berada di persimpangan kritikal dalam hala tuju pasca pandemik.
Lantaran itu penting bagi pasaran modal untuk kekal menyokong ekonomi ketika negara ini beralih ke negara yang inklusif dan mampan.
”Kemajuan dalam pasaran modal tidak boleh hanya diukur dengan pertumbuhan dan saiz, ia juga harus memenuhi keperluan dasar dan aspirasi negara serta rakyatnya,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
CMP3 mempertimbangkan trend mega antarabangsa yang akan membentuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi global dan Malaysia, di samping mendorong pasaran modal menuju tiga hasil keluaran yang diinginkan:
i. Relevan kepada pembangunan ekonomi dan pihak berkepentingannya;
ii. Cekap dalam mobilisasi modal dan mencapai hasil kawal seliaan yang diinginkan; dan
iii. Berpelbagai dalam mewujudkan nilai untuk semua peserta.
Untuk mencapai hasil keluaran yang diinginkan ini, CMP3 menggariskan enam teras pembangunan dan peraturan utama, yang secara kolektif akan berfungsi sebagai prinsip dalam membangunkan inisiatif strategik selama lima tahun akan datang.
Katanya, prinsip pembangunan pertama ini akan memudahcara pengumpulan dana untuk perniagaan kompetitif melalui ekosistem pasaran dan perantaraan yang berpelbagai.
CMP3 juga bertujuan untuk meningkatkan kewibawaan semua rakyat Malaysia untuk melabur bagi masa depan mereka, di samping mempromosikan rangkuman digital dan perlindungan untuk pelabur yang rentan.
Selain itu, melalui prinsip Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan Pasaran Modal Islam (ICM), CMP3 bertujuan untuk membentuk ekonomi pihak berkepentingan dengan menggerakkan lebih banyak modal ke arah perniagaan yang mampan.
Di samping itu, pendekatan pengawalseliaan SC juga akan berkembang sebagai tindak balas terhadap perubahan trend dan lanskap pasaran. CMP3 berusaha untuk menanamkan akauntabiliti bersama dalam pasaran modal, terutamanya tanggungjawab korporat terhadap pihak berkepentingan di luar keuntungan jangka pendek.
Ini juga bertujuan untuk mencapai hasil pengawalseliaan yang lebih telus dan kecekapan yang lebih tinggi dalam melindungi pelabur melalui pendekatan penguatkuasaan dan pengawasan yang cekap, efektif dan tersasar.
Tambahan pula, ketika industri ini menjadi lebih digital, CMP3 menggambarkan penggunaan teknologi yang lebih luas – baik RegTech
dan SupTech – untuk kecekapan yang lebih tinggi dan pemahaman yang lebih mendalam.
“Ini akan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membawa teras strategik dalam membuahkan hasil keluaran yang diinginkan, agar kita dapat mencapai perubahan yang bermakna. Ini adalah perjalanan bersama untuk kita semua lalui. Kita akan lebih teguh
bersama,” kata Syed Zaid.
Selama dua dekad yang lalu, Pelan Induk Pasaran Modal 1 (2001 – 2010) dan Pelan IndukPasaran Modal 2 (2011 – 2020) telah berjaya mengembangkan pasaran modal sambil memastikan kestabilan dan integriti pasaran.
Malaysia kini mempunyai pasaran modal berpelbagai yang baik, dengan pasaran ekuiti yang mempunyai lebih dari 900 syarikat tersenarai, pasaran bon yang ketiga terbesar di Asia, pasaran modal Islam yang inovatif dan terkenal di seluruh dunia, pasaran derivatif yang memimpin dalam penemuan harga minyak sawit mentah, dan merupakan salah satu unit amanah yang terbesar di rantau ini.
Selain itu, strategi tadbir urus yang dilaksanakan dalam tempoh pelan induk sebelumnya telah memastikan pengawal seliaan peraturan yang mantap untuk meningkatkan keyakinan terhadap integriti pasaran modal Malaysia.
Rangka kerja kawal selia pasaran modal Malaysia merupakan penanda aras dan berada di tahap tinggi di peringkat antarabangsa, antara lain, piawaian perlindungan pelabur, tadbir urus korporat dan kemampuan penguatkuasaan.
CMP3 akan dilaksanakan berdasarkan asas kukuh yang dibina untuk membuka ruang bagi tahap evolusi dan pertumbuhan Malaysia yang selanjutnya. – MalaysiaGazette