Tertuduh, Shafizan Amin mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,500 ketika hadir ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Seorang pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,500 pada pertengahan tahun lalu.

Tertuduh, Shafizan Amin, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 2 Mei, 9 Julai dan 28 Julai 2020 di Bank Islam Malaysia Berhad cawangan Putra Heights menerima wang masing-masing bernilai RM500, RM1,000 dan RM1,000 melalui akaun bank miliknya di Bank Simpanan Nasional (BSN) daripada seorang individu.

Individu itu merupakan pemilik syarikat Essential Operation Solution yang mempunyai kaitan dengan kerja-kerja di Kem Paya Jaras, Sungai Buloh.

Kes itu disiasat mengikut Sekysen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan.

Tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mohd Aidil Arsad dan Mohd Shukri Ahmad Mansor memohon jaminan serendah mungkin memandangkan anak guamnya mempunyai pendapatan bersih RM5,245 sebulan dengan banyak tanggungan.

Tertuduh perlu menanggung lima anak yang masih belajar di universiti, sekolah asrama dan sekolah kebangsaan serta ibunya yang berusia 74 tahun.

Selain itu, tertuduh juga perlu membayar RM500 setiap bulan kepada Jabatan Insolvensi selepas diisytihar muflis pada 2018 hingga kini.

Peguam turut memohon mahkmah mengecualikan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport ke mahkamah kerana dokumen perjalanan anak guamnya itu sudah tamat tempoh dan tidak pernah diperbaharui sejak 2007.

Setelah mempertimbangkan permohonan tertuduh, Hakim Rasyihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, pasport dikecualikan diserah ke mahkamah dan tidak boleh memperbaharuinya sehingga kes itu selesai serta perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu. – MalaysiaGazette