BAYAN LEPAS – “Rasa seronok sebab boleh pergi sekolah, belajar secara bersemuka tapi dalam masa sama ada juga perasaan takut untuk menerima suntikan vaksin ini,” kata Danial Husni,16.
Jelas Danial, bagaimanapun perasaan takut itu hilang selepas mengetahui kembarnya, Danish, 16, turut menerima tarikh janji temu hari yang sama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Spice Convention Centere di sini.
Jelas pelajar sebuah sekolah berasrama penuh itu, mereka dimaklumkan oleh guru untuk semak aplikasi MySejahtera bagi mengetahui tarikh dan lokasi penerimaan vaksin.
“Kami tak sangka akan dapat vaksin pada hari pertama Pulau Pinang melancarkannya buat golongan remaja dan lebih teruja apabila tahu kami berdua menerima ia secara serentak.
“Kami bersyukur antara penerima awal vaksin kerana dengan pemberian ini akan memudahkan kami berdua untuk ke sekolah tidak lama lagi.
“Selain itu, kami percaya pemberian vaksin ini dapat meningkatkan lagi imunasasi badan masing-masing daripada dijangkiti Covid-19,” katanya ketika ditemui di PPV Spice Convention Centere di sini, hari ini.
Ibu kembar berkenaan, Rodiah Pariti, 53, berkata, dia berbelah bahagi untuk menghantar anaknya ke sekolah sebaik kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah secara bersemuka baru-baru ini.
“Namun, keyakinan itu kembali apabila kerajaan turut mengumumkan pemberian vaksin kepada golongan remaja.
“Rasa lega bila tahu mereka (anak kembar) menerima vaksin sebelum sesi persekolahan bermula, ini kerana anak-anak tinggal jauh daripada keluarga sekali gus timbul perasaaan bimbang sekiranya berlaku jangkitan di sekolah,” kata Rodiah.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Khairani Khashim,17, berkata, golongan pelajar harus mengetepikan mitos berhubung penerimaan vaksin.
“Selalunya ramai suka percaya dakwaan buruk di media sosial hingga menyebabkan mereka tidak mahu divaksin.
“Bagi saya, pengalaman diri sendiri itu penting untuk penjelasan terbaik berkaitan vaksin ini.
“Sehubungan itu, saya seru semua golongan remaja khususnya pelajar sekolah menerima suntikan vaksin agar pembelajaran secara bersemuka di sekolah dapat dilaksanakan semula,” kata Muhammad Khairani.
Sementara itu, Pengurus PPV Spice Convention Centre, Dr Norhashimah Ismail berkata, seramai 100 pelajar sekolah berasrama luar Pulau Pinang menerima suntikan vaksin di sini hari ini.
“Kesemua mereka datang ditemani ibu atau bapa mendapat penerangan sebelum dibawa untuk pemberian vaksin.
“Kita buka walk-in buat remaja di negeri ini yang bersekolah asrama luar sekiranya mereka tidak dapat tarikh janji temu lagi.
“Bagi pelajar sekolah di negeri ini pula, pemberian vaksin akan dibuat esok dan kita anggarkan seramai 1,000 pelajar sekolah dari Daerah Timur Laut dan Barat Daya negeri ini akan hadir,” kata beliau. – MalaysiaGazette