KUALA LUMPUR – Pusat pelancongan, pulau berserta aktiviti rentas negeri hanya akan dibenarkan dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.
“Saya percaya, ramai yang sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung berjumpa dengan keluarga setelah sekian lama. InsyaAllah, sasaran 90 peratus ini dijangka dapat dicapai dalam masa dua tiga minggu sahaja lagi,” katanya Perdana Menteri dalam hantaran di Facebooknya malam ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini juga memutuskan pengoperasian kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dilanjutkan kepada 12 tengah malam bermula esok.
Tambah beliau, operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness), dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021.
Begitu juga bagi pusat/ premis/ produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha/operator dan pelawat/pengunjung lengkap divaksin.
“Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin,” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu menurut Ismail Sabri, warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara manakala bagi warganegara adalah percuma.
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini juga bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi Negeri Sembilan, Pahang dan Johor bermula 24 September ini.
Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa 4, Pahang ke Fasa 3 manakala Johor pula ke Fasa 2.
Menurut Perdana Menteri, peralihan fasa itu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengambilkira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi serta peratusan lengkap divaksinasi.
“Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” katanya.- MalaysiaGazette