KUALA LUMPUR – Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi membantu usahawan yang terjejas akibat Covid-19 dan menghadapi kemelut pasca pandemik itu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan segera untuk bantuan jangka masa pendek akan dilaksanakan menerusi jawatankuasa khas itu.
Jelasnya, inisiatif jangka masa pendek itu akan menumpukan tiga pendekatan utama.
“Pertama, berusaha memulihkan usahawan dan koperasi terjejas melalui bantuan pembiayaan. Yang kedua, membantu golongan yang hilang pekerjaan (iaitu) belia dan graduan menceburi keusahawanan termasuk golongan asnaf dan orang kurang upaya (OKU.
“Ketiga, memperkukuhkan daya tahan perusahaan mikro kecil dan sederhana melalui adaptasi teknologi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Kata Noh lagi, dalam masa sama, inisiatif dan tindakan untuk manfaat jangka masa panjang juga sedang dikenal pasti sebelum dimuktamad dan dilaksanakan.
“Menyelaras dan menjajarkan semula pelaksanaan program-program di bawah agensi MEDAC serta meningkatkan sistem penyampaian,” tambahnya.- MalaysiaGazette