Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid. Foto AFIQ HAMBALI, 08 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Putrajaya campur tangan dalam kebenaran pembalakan 75,000 hektar di Kedah dalam tempoh 18 tahun yang didedahkan dalam laporan media, sebelum ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu perlu diambil tindakan segera memandangkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang berkata keputusan itu dibuat disebabkan untuk mengelak tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri oleh syarikat yang diberi konsesi pembalakkan.

“Seharusnya Sanusi mendedahkan secara terperinci nama-nama syarikat konsesi balak, sejak bila serta sehingga bila konsesi diberi dan dikawasan mana, berapa yuran konsesi yang dibayar kepada kerajaan, berapa nilai cukai balak yang diperolehi dan apa tanggungjawab yang dikenakan keatas syarikat jika bencana berlaku akibat pembalakkan.

“Kami ingin mengingatkan bahawa membalak di kawasan seluas itu termasuk 25,000 hektar di kawasan Ulu Muda adalah suatu resepi malapetaka alam yang besar yang bakal menimpa Kedah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Rabu lalu, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi berkata kerja-kerja pembalakan di kawasan seluas 75,000 hektar yang diluluskan kerajaan negeri sebelum ini akan diteruskan bagi mengelak implikasi undang-undang.

Katanya, ia tertakluk kepada beberapa syarat termasuklah pembukaan pembalakan tahunan berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah ditetapkan.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, dengan kadar keluasan 4,166 hektar setahun yang dibalak oleh syarikat itu akan memberikan kesan kerosakkan ekologi berganda dalam tempoh 18 tahun.

Lebih daripada itu, beliau berkata, kesan daripada pembalakan tersebut akan turut dirasai sektor pertanian terutamanya sektor penanaman padi.

“Sektor pertanian terutama sawah padi adalah mangsa pertama yang akan dirasai bila hutan dan kawasan tadahan air tergugat akibat pembalakkan. Ribuan petani akan terkesan dan kawasan jelapang padi akan menerima akibat buruk bila banjir atau kemarau ekstrim berlaku.

“Belum lagi risiko banjir yang bakal berlaku pada skala besar yang akan mengakibatkan kemusnahan infrastruktur awam dan kehidupan rakyat.

“Kerosakan alam yang diakibat oleh tangan manusia inilah yang menjadi punca kepada bencana yang semakin kerap dan semakin besar,” katanya. – MalaysiaGazette