Penerima mengambil barang sumbangan pada Program Malaysia Gazette (MG) Prihatin 2021 di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya, Selangor.Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2021.

AKHIR-akhir ini kita sering mengucap, melihat dan mendengar perkataan “Malaysia
Prihatin” lebih-lebih lagi di era pandemik Covid-19 ini. Namun, adakah kita sedar sebenarnya Semangat Malaysia Prihatin ini tersemat di dalam diri kita? Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu catatan beliau di Facebook rasmi ada menyatakan prihatin adalah satu sifat yang perlu ada dalam diri setiap masyarakat di negara ini."Bila kita prihatin, kita empati dengan kesusahan orang lain. Bila kita prihatin, kita jaga keselamatan dan kesihatan komuniti kita.

Bila kita prihatin, kita bersatu hati memerangi musuh negara."Kerana itu, saya menyeru agar kita dalami tema Malaysia Prihatin ini dan pupuk sifat prihatin dalam diri kita. Saya pasti, dengan keprihatinan kita, Malaysia pasti dapat memutuskan rantaian
Covid-19 dan terus kekal aman makmur,". Kata-kata yang dizahirkan oleh Perdana
Menteri kita ini sangat mendalam maksudnya dan lebih-lebih lagi kita tengah
berhadapan dengan satu keadaan tidak pernah kita alami dan tidak dapat jangka bila
akan menemui noktah akhir.

Walaupun kesan daripada pandemik ini, telah menyebabkan perubahan gaya hidup dan sosioekonomi masyarakat namun ia menyerlahkan kebaikan dengan menyaksikan sumbangan keringat serta usaha yang tidak berbelah bahagi daripada setiap individu
mahupun kumpulan segenap lapisan masyartakat. Sebagai contoh budaya menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan sama ada dalam kalangan keluarga, kawan-kawan mahupun jiran tetangga semasa berhadapan dengan Covid-19 ini perlu sentiasa disemai. UiTM Cawangan Sabah sahaja misalnya telah menubuhkan Tabung Alumninya yang mana objektifnya membantu golongan pelajar yang terkesan serta pelbagai program misi bantuan telah dijalankan dalam membantu pelajar dan staf yang terkesan akibat daripada Covid-19.

Bukan itu sahaja, malah kita melihat ramai lagi pihak yang tampil dalam menghulurkan bantuan kemanusian kepada golongan yang terjejas dalam pandemik Covid-19 dan juga yang terjejas dalam bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Bukan sahaja pujian harus diberikan kepada insan atau kumpulan yang menghulurkan bantuan seperti ini, namun keteladanan yang ditonjolkan haruslah diberikan pengiktirafan dan dijadikan asas kekuatan dalam memastikan setiap masyarakat dapat berkongsi akan nikmat kejayaan dan kekayaan dalam menjadikan kita sebagai masyarakat yang sentiasa prihatin kepada agama, bangsa dan negara kita.

Sehingga ke hari ini sahaja, kita menyaksikan dan merasai pelbagai inisiatif kerajaan
yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia. Ini membuktikan bahawa kerajaan sangat prihatin dalam membantu rakyat agar dapat meneruskan kehidupan dan seterusnya mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara kita. Semangat Malaysia Prihatin juga ditonjolkan oleh petugas di barisan hadapan yang banyak menabur jasa dan bakti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat tanpa mengira penat dan lelah dalam memutuskan rantaian Covid-19 ini.

Bagi golongan akademik, perjuangan dan keprihatinan kita dalam mendidik anak bangsa haruslah menjadi peranan utama dalam melahirkan insan yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi mengamalkan nilai-nilai kemanusian yang seterusnya boleh
mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Pelbagai juga usaha dan keprihatinan yang telah ditonjolkan oleh rakyat Malaysia
seperti mengamalkan norma baharu dalam menjalankan aktiviti kehidupan seharian
agar kita dapat bebas daripada dibelenggu pandemik Covid-19 ini. Slogan ‘Kita Jaga
Kita’ sangat bertepatan dalam menyemai semangat Malaysia Prihatin dengan
memartabatkan nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan, kesederhanaan, kedamaian,
kesefahaman dan seterusnya keprihatinan yang mana dapat mencerminkan kejayaan
sesuatu bangsa mahupun negara.

Hakikatnya, kita masih belum menang. Namun begitu, dengan usaha dan sokongan
bersama, peperangan menentang Covid-19 ini pasti akan tiba ke penghujungnya.
Justeru, marilah sama-sama kita menyahut seruan ‘Malaysia Prihatin’ ini dengan
penuh penghayatan dan semailah dalam diri masing-masing agar kita dapat
mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan seterusnya sama-sama mengharungi
pandemik Covid-19 ini.

Oleh:
Nur Hazilah Binti Omar
Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara(UiTM) Cawangan Sabah.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast