PELABUHAN KLANG – Pembuangan pakaian terpakai atau bundle di Jeti Orang Asli Sungai Chandong, Pulau Indah di sini tidak berkesudahan, apatah lagi selepas Lembah Klang memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 10 September lalu.
Meskipun ia pernah didedahkan media Mac lalu, namun perkara itu masih berulang dipercayai dilakukan oleh pengusaha kedai bundle di sekitar Klang menyebabkan Sungai Chandong dicemari dengan sisa pepejal itu setiap kali air pasang.
Penyelaras Perikatan Nasional (PN) Parlimen Klang, Nallan Dhanabalan berkata, kebanyakan baju terpakai itu dilonggokkan di jeti terbabit sebelum dibiarkan hanyut ke lautan melalui Sungai Chandong.
“Kami terima aduan tentang pembuangan baju-baju bundle, mereka akan buang di sini (Jeti Orang Asli Pulau Indah).
“Secara tidak langsung ia mengganggu dan merosakkan ekosistem, malah mencemarkan kawasan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di Jeti Orang Asli Pulau Indah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nallan memberi jaminan untuk membawa perkara itu kepada pihak berkuasa khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kita akan bawa aduan ini kepada pihak-pihak bertanggungjawab terutamanya agensi-agensi berkuatkuasa untuk pastikan mereka turun ke kawasan, pantau serta ambil tindakan sewajarnya untuk memulihkan kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, seorang nelayan tempatan, Hanafiah Mohd Awal, 62, berkata, pembuangan pakaian terpakai itu telah menjejaskan punca pencarian orang asli yang kebanyakan bekerja sebagai nelayan di situ.
“Kita kena prihatin kepada nasib mereka, sebagai nelayan sepenuh masa, kerjasama semua pihak amat dihargai.
“Baju bundle ini dari kilang luar dan ada juga dari kedai-kedai bundle sekitar Klang.
“Kalau ada yang boleh diambil, orang asli di sini akan ambil, yang tak pakai akan dibiarkan di sini sejak hampir dua tahun lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette