Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Mohd Nor

GEORGE TOWN – Golongan ‘mukhannath’ atau transgender hendaklah mengubah penampilan diri mereka jika mahu berada di masjid atau surau supaya mereka tidak kelihatan ganjil atau berbeza, malah mengelak rasa tidak senang dalam kalangan majoriti jemaah lain.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata beliau berpendapat tiada jalan lain dapat menyelesaikan masalah bagi golongan itu berada di tempat ibadah, melainkan mereka menukar penampilan.

“Kita amat bersimpati dan kasihan dengan golongan ini malah berharap agar mereka diterima oleh masyarakat umum. Bagaimanapun mereka perlu berusaha menyesuaikan diri dengan budaya dan norma masyarakat biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berhubung langkah kerajaan yang sedang meneliti kemungkinan mengenakan larangan memasuki masjid terhadap golongan ini di Wilayah Persekutuan, seperti yang dilaksanakan di Perlis.

Ahmad Marzuk dilaporkan berkata tindakan pihak berkuasa agama di Perlis yang mengenakan larangan itu adalah wajar bagi menjaga kesucian masjid.

Sementara itu Wan Mohd Salim berkata golongan transgender sebenarnya menzalimi diri mereka sendiri apabila memilih cara dan gaya hidup yang bertentangan dengan hukum alam dan hukum agama malah tindakan sedemikian membuatkan mereka menghadapi pelbagai kesukaran dalam kehidupan terutama apabila berinteraksi dengan orang ramai.

Beliau turut meminta Majlis Agama Islam Negeri dan pengurusan masjid serta surau memainkan peranan masing-masing dalam berhadapan dengan isu itu.

“Pihak pengurusan masjid perlu menasihati golongan ini secara lembut dan berhemah supaya mereka menghormati kesucian rumah ibadah Islam ini dengan penampilan yang sesuai dan tidak lagi dipandang serong serta dianggap aneh,” katanya.

Katanya jika golongan itu masih berdegil, pihak pengurusan masjid perlu bertegas dengan menghalang mereka untuk memasuki masjid kerana perkara ini melibatkan kepentingan umum, dan agama Islam mengajar umat supaya mengutamakannya.

— BERNAMA


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast