Lebuhraya Pan Borne yang masih dalam pembinaan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bermula tahun ini hingga 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia ni termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan.

Oleh itu kata beliau, pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMK-12 menerusi penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuh Raya Pan Borneo.

“Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan.

“Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat. Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak.

Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri tersebut. Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi. Saya sendiri akan memantau pelaksanaannya secara dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul mengenai RMK-12, 2021-2021 bertemakan Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, seperti yang umumkan semasa Hari Malaysia, peruntukan berjumlah RM7.7 bilion iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada Sarawak disediakan bagi pelaksanaan pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sepanjang tempoh RMK-12.

Jelas beliau, dengan peruntukan itu, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi.

Menurutnya, sehingga Ogos lalu, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak.

“Bagi menambah baik bekalan elektrik, loji janakuasa baharu akan dibina dan talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah akan dinaik taraf. Projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada tahun 2025.

“Perkhidmatan penjagaan kesihatan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak. Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di kedua-dua negeri.

“Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26,000 isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ismail Sabri memberitahu, Kerajaan turut menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia dan akan membina pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah manakala Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf.

Tambah beliau, selain itu, projek Jalan dari Sempadan Ba’kelalan/Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada tahun 2022.

“Dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak ini, pertumbuhan purata KDNK tahunan Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5 peratus dan Sarawak pada kadar 5.3 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2025.

“Saya berkeyakinan kedua-dua negeri ini mempunyai keupayaan dan kekuatan sumber yang boleh dioptimumkan sepenuhnya. Dengan itu,  pertumbuhan sebenar boleh menjadi lebih tinggi daripada jangkaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette