Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din (kiri) menunjukkan barang yang dirampas pihak polis berikutan tangkapan sindiket penipuan pembelian barangan tukar ganti kenderaan 'Fly By Night' di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Hantar slip pembayaran perbankan berjadual antara bank atau Inter Bank Giro (IBG) bagi memperdaya pembekal barangan alat ganti komponen kenderaan.

Bagaimanapun helah berkenaan yang digunakan sindiket penipuan pembelian barangan tukar ganti kenderaan yang aktif sejak Mac lalu dihidu polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, lima lelaki tempatan yang disyaki ahli sindiket berkenaan dicekup dalam satu serbuan di Kuantan, Pahang pukul 10.15 malam pada 24 September lalu.

“Polis menerima laporan pada 21 September lalu dari seorang lelaki tempatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang memaklumkan dia menjadi mangsa penipuan dalam urusan pembelian barangan alat ganti kenderaan.

“Bertindak atas laporan itu, kami telah melakukan tangkapan ke atas lima lelaki berusia antara 23 hingga 60 tahun dalam sebuah rumah yang diduduki suspek di Kuantan pada 24 September lalu.

“Hasil soal siasat ke atas kesemua suspek, kami menyerbu dan memeriksa beberapa rumah yang dijadikan sebagai tempat simpanan barangan tukar ganti kenderaan di sekitar negeri tersebut sebelum merampas pelbagai barangan tukar ganti kenderaan dianggarkan bernilai RM936,783,” katanya pada sidang media di Balai Polis Jinjang petang tadi.

Turut bersama pada sidang media itu adalah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo, Timbalan Pengarah JSJK Deputi Komisioner Sasikala, Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Willie Richard dan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Tambah Mohd Kamarudin, siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan beroperasi secara aktif kira-kira lima bulan bermula Mac hingga Ogos lalu di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Modus operandi sindiket itu ialah menyasarkan pembekal serta peniaga barangan alat ganti kenderaan dengan menyerahkan slip pembayaran perbankan berjadual IBG kepada mangsa dan menipu dengan alasan bayaran sudah dibuat.

“Sindiket ini juga berperanan sebagai ejen pembeli barang alat ganti kenderaan, pemilik syarikat alat tukar ganti kenderaan serta pemandu.

“Sindiket berkenaan juga menggunakan nama Syarikat Ban Heng Auto untuk mengaburi mangsa yang diperdaya dengan slip jadual pembayaran (IBG) palsu bagi meyakinkan mereka sebelum diminta menghantarkan barangan itu ke alamat diberikan sindiket berkenaan.

“Apabila barangan komponen alat ganti kenderaan dihantar, sindiket bertindak membatalkan segera pembayaran perbankan menerusi IBG itu sebelum melarikan barangan tersebut,” katanya.

Melalui penahanan ahli sindiket berkenaan, pihaknya yakin menyelesaikan sembilan kertas siasatan membabitkan lapan kes di Johor dan satu kes penipuan di Sentul yang disyaki didalangi sindiket sama.

Semua suspek berkenaan direman sehingga esok dan akan disambung reman untuk membantu melengkapkan kertas siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan prinsip mengenali pelanggan sebelum menjalankan apa-apa urus niaga perbankan dalam talian.

“Selain itu, peniaga juga dinasihatkan supaya membuat pengesahan dengan pihak bank terlebih dahulu bahawa pembayaran daripada pelanggan adalah sah masuk ke dalam akaun bank milik syarikatnya sebelum terlibat dengan proses penghantaran barangan kepada pelanggan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Kamarudin juga mengesahkan JSJK Bukit Aman setakat ini telah menerima 23 kes dengan kerugian berjumlah RM566,397 membabitkan modus operandi penipuan menggunakan slip pembayaran perbankan berjadual atau dikenali sebagai Fly by Night pada tahun lalu.

“Bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam pula, sebanyak 43 kes diterima polis membabitkan Fly by Night dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM3.25 juta,” katanya.