KUALA LUMPUR – Agrobank kini siap sedia untuk memacu pelan pemulihan sosio-ekonomi dan pertumbuhan negara dalam sektor pertanian dan jaminan bekalan makanan menerusi pelan strategik lima tahunnya, Pelan Perniagaan Strategik 2021-2025 (SBP 2021-2025).

Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata,, bank ini akan terus memberi tumpuan untuk berkhidmat mengikut keperluan sektor pertanian dan komunitinya menerusi SBP 2021- 2025 bagi memeta hala tuju perniagaan untuk lima tahun akan datang.

SBP 2021-2025 telah dibangunkan ketika tempoh pandemik, justeru itu ia jelas menggambarkan perancangan bank untuk menyokong serta membangunkan sektor pertanian dan komuniti agro dalam tempoh lima tahun, menerusi empat Bidang Fokus Utama iaitu Pembangunan Pertanian secara Mampan, Fokus Pelanggan yang Inklusif, Model Perniagaan yang Transformatif dan Keadaan Kewangan yang Lestari.

Dalam merealisasikan matlamat SBP 2021-2025, Agrobank akan membentuk nilai secara proaktif menerusi perkongsian pintar dan kolaborasi strategik dengan rakan perniagaan demi mencapai faedah bersama khususnya dalam mencapai visinya.

Berfungsi sebagai pemangkin dalam ekosistem ini, ia akan membolehkan Agrobank meneroka dan mencapai nilai maksimum menerusi sumber dan kepakaran mereka dalam industri pertanian dan makanan.

”Perjalanan untuk menjadi seorang usahawan terutama dalam sektor pertanian sangat mencabar, oleh itu sebagai rakan kongsi jangka masa panjang dalam perjalanan ini, Agrobank akan menyokong agropreneur bukan sahaja dengan memberikan sokongan kewangan tetapi juga sokongan bukan kewangan seperti kelas bimbingan perniagaan bagi menyokong setiap langkah dalam kejayaan mereka.

”Untuk mendorong agenda ini, salah satu daripada empat Bidang Fokus Strategik dalam SBP 2021-2025 adalah fokus pelanggan yang inklusif iaitu menambah baik pengalaman pelanggan Agrobank secara keseluruhan, di samping mengusahakan inisiatif strategik untuk menyokong agropreneur muda daripada kumpulan B40, segmen asnaf, belia dan wanita untuk memperkuatkan kelayakan kredit dan meningkatkan kemampuan mereka untuk menjana sumber pendapatan,” katanya.

Sementara itu, dalam menyokong pemulihan pasca Covid-19 khususnya dalam sektor pertanian, Agrobank terus memainkan peranannya menerusi pengagihan pakej-pakej stimulasi kerajaan seperti Penjana, Pemulih,  Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan kemudahan bersasar serta kemudahan pemulihan lain.

“Sehingga kini, Agrobank telah mengagihkan pelbagai jenis dana rangsangan, termasuk di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Bank Negara Malaysia yang berjumlah kira-kira RM924 juta yang telah memanfaatkan 14,824 pelanggan di seluruh negara,” katanya.

Agrobank kekal optimis pada 5% berbanding pertumbuhan industri sebanyak 3%, sepanjang tempoh pandemik dan situasi semasa negara.

Selain bantuan pembiayaan, Agrobank akan terus menyokong untuk memenuhi perubahan keperluan semasa pelanggannya menerusi Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE), dengan menawarkan pelbagai kursus dalam talian, webinar dan program bimbingan khas untuk membimbing pelangganya. – MalaysiaGazette