KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bertanyakan kepada kerajaan bila siasatan lima laporan polis berkenaan Lembaga Tabung Haji (TH) akan dibuat.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu mengetengahkan persoalan itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana terdapat lima laporan polis telah dibuat sejak 2018 dan siasatan masih belum dibuka Peguam Negara.
“Laporan polis itu ada merit dari sudut menyebabkan isu-isu tidak amanah, penyelewengan dan salah guna kuasa tetapi sehingga ke hari ini belum ada siasatan dibuka,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada persidangan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Pada Disember 2018, polis mengesahkan menerima dua laporan dibuat Lembaga TH membabitkan salah guna kuasa dilakukan bekas Pengerusi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan institusi itu.
Perkara tersebut disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman ketika itu, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
Kedua-dua laporan itu disiasat mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan.
Laporan polis itu dibuat terhadap bekas Pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta barisan pengurusan kanan.
Pada Isnin lalu, Dewan Rakyat diberitahu tiada sebarang kertas siasatan dibuka ke atas mana-mana pihak berhubung dakwaan ‘mencuri’ wang Lembaga Tabung Haji (TH) setakat ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia termasuk dakwaan siasatan yang dikatakan dibuat terhadap bekas Pengerusi TH itu. – MalaysiaGazette