Azalina Othman said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Elemen penting Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ialah perancangan pemulihan Covid-19, kata Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, RMK-12 dilihat sebagai ibu kepada perancangan utama itu disebabkan negara dan rakyat khususnya baharu dan masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, penularan wabak itu harus dilihat sebagai satu bencana luar biasa kepada rakyat dan negara.

“Oleh itu, perlunya perancangan pemulihan bencana Covid-19 yang lebih komprehensif, lengkap dan menyeluruh dari kerajaan.

“Antara elemen utama dalam RMK-12 ini ialah jangka masa pendek dan jangka masa panjang, selain peranan negeri dan daerah, yang perlu ditekankan secara sentralisasi.

“Saya percaya segala pendekatan dan cadangan yang dibuat oleh kerajaan dengan niat ikhlas sesuai tajuknya, RMK-12 sebagai Makmur, Inklusif dan Mampan. Saya harap ia bukan hanya kata-kata menanam tebu di bibir mulut,” katanya pada sesi perbahasan menyokong RMK-12 di Parlimen, hari ini.

Azalina bagaimanapun berkata, jika dengar semua perbahasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dalam setiap Rancangan Malaysia, banyak yang diminta, tidak dapat.

Ini, katanya, menyebabkan kadang-kadang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempunyai masalah besar ketika berhadapan dengan Covid-19 atau bencana luar biasa itu.

“Kerajaan perlu mengubah pendekatannya. Tidak lagi menggunapakai pendekatan sebagaimana sentralisasi, iaitu Putrajaya tidak boleh menganggapkan hanya mereka tahu segala-galanya.

“Putrajaya perlu mengambil pendekatan sebagaimana disebut dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa RMK-12 ini adalah Makmur, Inklusif dan Mampan,” katanya.

Justeru, beliau menyatakan, perlu setiap Ahli Parlimen memainkan peranan tidak kisah daripada mana parti politik, membantu kerajaan menyelesaikan perancangan pemulihan bencana itu secara komprehensif, lengkap dan menyeluruh.

Beliau pada masa sama, mengucapkan tahniah kepada kerajaan mewujudkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan dikatakan juga akan menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri.

“Saya minta kerajaan untuk mewujudkan majlis pemulihan di peringkat daerah dengan peranannya dimainkan secara positif oleh setiap Ahli Parlimen menerusi majlis pemulihan ekonomi di kawasan masing-masing.

“Kita tidak boleh lari bahawa setiap Ahli Parlimen tidak kisah di mana parti politiknya berhadapan dengan cabaran yang begitu besar apabila Covid-19 bermula.

“Antara cabaran utama menangani ketidakcukupan vaksin di awal program vaksinasi tidak boleh lari bahawa peranan banyak dimainkan oleh barisan hadapan dan juga sukarelawan kita di kawasan luar bandar,” ujar beliau. – MalaysiaGazette