Che Abdullah Mat Nawi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi membangkitkan isu ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah yang membelenggu pembangunan ekonomi negara.

Katanya, Kelantan antara negeri yang sering menjadi mangsa kepada kerajaan, terutama Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pentadbiran persekutuan pada 2018.

Menurut beliau, paling ketara berlaku penindasan terhadap Kelantan dan rakyatnya ialah berkaitan penjajaran semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

“Namun, saya agak terkilan kerana tahun 2018, kerajaan PH telah menyisihkan Stesen ECRL Pengkalan Kubur dan Stesen Wakaf Bharu di Tumpat serta termasuk juga Stesen Jelawat di Bachok.

“Tiga stesen ini sangat penting demi masa depan rakyat Kelantan dan Tumpat, tetapi telah dibuang dari peta jajaran ECRL itu.

“Apa yang mereka gembar gemburkan pada masa itu kononnya mereka berjaya menurunkan kos pelaksanaan ECRL hanya dengan mengurangkan stesen dan memendekkan landasan,” katanya ketika sesi perbahasan RMK-12 di Parlimen, petang ini.

Menurut Che Abdullah, tindakan kerajaan PH itu telah memangsakan kawasan yang sepatutnya dibangunkan demi mengurangkan jurang keseimbangan ekonomi sedia ada.

Tegasnya, kerajaan 22 bulan itu juga turut memangsakan rakyat Kelantan dan Tumpat khususnya dengan mengenepikan segala mainan politik dan penipuan terhadap rakyat.

Che Abdullah berkata, selaras dengan penumpuan serius terhadap menggandakan pertumbuhan di negeri kurang membangun dalam RMK-12 ini, beliau mengharapkan agar kerajaan baharu ini dapat mempertimbangkan semula untuk memasukkan stesen Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubur berdasarkan rancangan jajaran asal ECRL sebelum ini.

“Cuma dalam hal ini, kerajaan perlu memastikan laluan yang dipilih tidak melibatkan kawasan perumahan padat yang boleh menyusahkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette