Khairul Dzaimee Daud Sungai Bakap Temporary Immigration Depot in Penang Rohingya detainees riot escape
Khairul Dzaimee Daud
KUALA LUMPUR – Pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara tidak perlu memohon kelulusan MyTravel Pass (MTP) berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud menerusi satu kenyataan berkata, ia membabitkan pelajar yang baharu mendapat tawaran belajar di universiti luar negara, pelajar yang menyambung pelajaran serta mereka yang menduduki peperiksaan.

Pengecualian tersebut turut diberikan kepada dua orang pengiring pelajar terbabit.

Tambahnya, atlet yang menyertai sukan di luar negara juga diberi kelonggaran sama selain individu yang menyertai seminar, mesyuarat dan bantuan kemanusiaan.

Katanya, bagi mereka yang terlibat dengan urusan kecemasan di luar negara seperti kematian dan sakit kritikal turut diberi kelonggaran tersebut.

Turut diberi pengecualian memohon kelulusan MTP ialah individu yang mahu bertemu sama ada isteri atau suami di luar negara yang mana perkahwinan mereka didaftarkan di luar negara

Sementara itu, Khairul Dzaimee menjelaskan, diplomat Malaysia dan diplomat asing tidak perlu memohon MTP seperti ketetapan sedia ada.

Katanya, semua dokumen berkaitan tujuan perjalanan perlu ditunjukkan kepada pegawai imigresen yang bertugas di kaunter di pintu masuk negara.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kelonggaran yang diberi itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mempermudahkan urusan Keluarga Malaysia serta menuju ke arah pemulihan ekonomi negara.
“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambilkira maklum balas pihak berkepentingan yang perlu ke luar negara atas pelbagai urusan atau tujuan penting,” katanya.
“Saya yakin keputusan yang dibuat pada waktu sukar ini akan dapat membantu memudahkan Keluarga Malaysia untuk ke luar negara sama ada bagi urusan perniagaan, menyertai acara sukan, mesyuarat atau seminar, menyambung pengajian atau menjalani peperiksaan bagi pelajar mahupun bagi urusan kecemasan seperti kematian dan sakit kritikal.
Tambah beliau, keputusan Kabinet ini juga dapat membantu syarikat-syarikat penerbangan dan pemain industri berkaitan untuk terus melangkah ke arah pemulihan.
Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu, beliau dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan mengemaskini status semasa industri penerbangan dan membentangkan inisiatif untuk mengurangkan kesan wabak Covid-19 kepada industri kepada Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), esok.
“Kami juga akan mengusulkan langkah-langkah untuk kelestarian industri dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang merangkumi lebih banyak gelembung perjalanan domestik; perjalanan antara negeri; dan langkah-langkah ke arah pembukaan semula perjalanan bagi mengerjakan umrah kepada mereka yang lengkap divaksinasi,” ujarnya.
.
Katanya, bukan mudah untuk sektor penerbangan Malaysia pulih sepenuhnya dengan cepat dan bilangan penumpang dijangka kembali pulih menjelang 2025 setelah turun mendadak daripada 109.1 juta penumpang pada 2019 kepada 26.7 juta pada tahun lalu. – MalaysiaGazette