KUALA LUMPUR – AirAsia dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik di Dunia buat kali ke-12 berturut-turut dalam Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2021 pada malam tadi.
Kemenangan ini menyusul selepas syarikat penerbangn ini mendapat pengiktirafan teratas untuk Inovasi Perniagaan di Anugerah Strategi Penerbangan Flight Global 2021 pada hari Selasa.
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group berkata, kemenangan ini adalah satu penghormatan besar terutamanya dalam keadaan yang amat mencabar dalam sejarah industri penerbangan komersial.
”Sebagai sebuah jenama untuk semua yang menerbangkan tidak kira sesiapa sahaja dan memberikan keutamaan kepada kakitangannya, anugerah yang diterima selama 12 tahun berturut-turut ini amat istimewa kerana ia dinilai oleh berjuta-juta tetamu yang telah terbang bersama kami sebelum pandemik melanda pada bulan Mac 2020.
”Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Skytrax yang terus mengutamakan pilihan pengguna sebagai penanda aras untuk anugerah ini.
”Anugerah ini juga ditujukan khas kepada semua kakitangan kami iaitu Allstars di atas komitmen, ketekunan dan dedikasi mereka sepanjang pandemik ini serta tidak mudah mengalah apabila berdepan dengan pelbagai krisis seperti ini,” katanya.
Mengulas mengenai anugerah tersebut, Edward Plaisted, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax berkata, AirAsia tetap menjadi pilihan para penumpang dan dominasi berterusan syarikat penerbangan ini dalam kategori anugerah tersebut adalah pencapaian yang luar biasa dalam pasaran yang amat kompetitif ini.
Anugerah untuk tahun 2021 ini adalah berdasarkan tinjauan yang dibuat ke atas 13.42 juta peserta dari lebih 100 negara, dengan 88% daripadanya didaftarkan hingga bulan Mac 2020 iaitu sebelum pandemik bermula. – MalaysiaGazette