KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan cadangan mewujudkan Akta Antilompat Parti dan Pemecatan Ahli Parlimen 2021 sebagai wajar dilaksanakan.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini tiada sebarang akta atau undang-undang dalam negara berkaitan lompat parti.
“Kita pernah menyaksikan begitu ramai wakil rakyat sewenang-wenangnya lompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Mereka berbuat demikian tanpa mempedulikan mengenai rakyat yang mengundi mereka atas dasar parti politik yang mereka wakili.
“Perbuatan ini sebenarnya suatu penipuan terhadap pengundi, selain daripada penipuan manifesto,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau berpendapat sewajarnya kerusi kawasan itu dipertandingkan semula dengan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengabsahkan pilihan pengundi.
Malah, katanya, pihak berkuasa juga sukar untuk mengaitkan mana-mana perbuatan lompat parti dengan unsur jenayah, terutama dalam dalam mengaitkan mereka yang dapat jawatan dengan anasir sogokan.
Menurut Ahmad Zahid, gejala itu secara tidak langsung boleh menghakis keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi negara.
Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai isu Allahyarham Muhammad Abib Mohd Kassim yang meninggal dunia dalam rusuhan di kuil Disember 2018.
Tegasnya, UMNO tidak pernah melupakan kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia itu, malah sentiasa menuntut keadilan ditegakkan.
“UMNO berpegang kepada keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 berhubung inkues kematian Muhammad Adib selepas insiden rusuhan 27 November 2018 akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu.
“UMNO sentiasa memerhati rapat perkembangan kes tersebut selepas kerajaan sebelum ini memberi jaminan akan meneruskan siasatan kes itu.
“Sejak itu UMNO percaya pihak berkuasa perlu diberi masa dan ruang untuk melaksanakan siasatan mereka bagi mencari kebenaran,” katanya.
Justeru, katanya, kenyataan seorang menteri baru-baru ini bahawa kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan hanya akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu amat mendukacitakan.
UMNO menggesa siasatan kes itu yang telah menjadi suatu aspek kepentingan umum diteruskan sehingga kebenaran dapat dirungkai. – MalaysiaGazette