KUALA LUMPUR – Keperluan vaksin lengkap kekal sebagai ketetapan untuk kebenaran makan di premis restoran, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
“Keperluan vaksinasi lengkap untuk dine-in kekal bagi semua fasa pemulihan. Peraturan yang dikeluar oleh @MKNJPM tidak dikemaskini,” demikian ciapannya di Twitter hari ini.
Beliau mengulas mengenai peraturan dine-in yang tidak dikemas kini oleh Majlis Keselamatan Negara.
Dalam maklumat itu, semua pelanggan dibenarkan makan dalam premis restoran, sama ada mereka telah menerima vaksin atau tidak pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam pada itu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu, telah mengarahkan MKN segera mengemas kini peraturan dan SOP yang perlu dipatuhi.
Katanya lagi, Kabinet juga telah memutuskan untuk meletakkan syarat vaksinasi lengkap pada semua fasa PPN.
“Ya, malah bukan sahaja dine-in tetapi Kabinet juga setuju setiap kemudahan dengan syarat vaksinasi lengkap kekal di semua Fasa PPN. @MKNJPM telah diarahkan supaya segera mengemaskini peraturan & SOP berkaitan yg mana ia mesti dipatuhi sepenuhnya semua pihak demi perangi #COVID19,” tulisnya di Twiiter.
Antara negeri yang beralih kepada Fasa Ketiga mulai hari ini adalah Melaka dan Lembah Klang.
Pahang, Terengganu dan Sarawak juga berada dalam fasa tiga. -MalaysiaGazette