Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Cinta tiga segi dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga Indonesia yang ditemui dalam keadaan berbogel dan diselimuti kain dalam sebuah kedai makan di Bandar Rinching, Semenyih pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata,  pihaknya berjaya menahan empat suspek lelaki membabitkan tiga warga asing serta seorang warga tempatan dalam serbuan  sekitar Kajang dekat sini kelmarin.

“Dalam serbuan itu, polis  telah menahan tiga lelaki warga asing serta seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.

“Selain itu, kami juga menahan dua lagi suspek lelaki warga asing termasuk seorang suspek utama dalam serbuan di Bandar Baru Bangi, semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 40-an.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Tambah Nik Ezanee , semua suspek yang ditahan itu dipercayai merupakan rakan kepada mangsa wanita yang berusia awal 50-an.

“Hasil siasatan awal yang dilakukan, kami percaya kejadian ini bermotifkan cinta tiga segi tetapi siasatan lanjut masih diteruskan.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Pada 28 September lalu, bau busuk selama dua hari dari sebuah premis makanan membawa kepada penemuan mayat seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian dan diselimuti kain di dalam restoran di Bandar Rinching, Semenyih.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast