Kajang District Police Chief ACP Mohd Zaid Hassan. Kajang prison inmate Covid-19 positive flee hospital
ACP Mohd Zaid Hassan.

KUALA LUMPUR – Bau busuk yang dihidu dari sebuah kedai makan rupa-rupanya bau mayat seorang wanita warga asing yang dipercayai telah dibunuh beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam menerusi panggilan MERS 999 pada pukul 7.33 pagi berhubung perkara itu.

Katanya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus mendapat aduan tersebut dan apabila pintu kedai dibuka dengan bantuan pihak bomba didapati seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 50an telah meninggal dunia.

“Wanita itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan diselimut dengan kain.

“Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, kali terakhir si mati dilihat adalah pada hari Sabtu, 25 September ketika berniaga di kedai makan itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, mayat wanita itu di hantar ke Bahagian Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, polis masih lagi menyiasat motif dan punca kejadian dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambah beliau, jika disabitkan kesalahan suspek yang terlibat dalam kejadian itu boleh dihukum gantung sampai mati.

Sehubungan itu, Mohd Zaid menggesa orang ramai dan juga saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis.

Maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus melalui Pegawai Penyiasat ASP Mohd Faizal di talian 011-33319871. – MalaysiaGazette