Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada majlis ringkas menerima penyertaan semula Dr. Erwan (kiri) dalam UMNO di Putrajaya, hari ini.

KUALA LUMPUR – UMNO Putrajaya hari ini menerima ahli baharu termasuk bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd Tahir.

Dr. Erwan memilih untuk menyertai semula UMNO kerana mendapati hanya parti itu sahaja yang dapat  mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.

Selain itu, beliau yang mengumumkan keluar Bersatu berkuatkuasa serta merta yakin UMNO juga parti yang mempertahankan Perlembagaan Malaysia dan Raja-Raja Melayu.

“Ini adalah masa yang tepat untuk saya kembali ke pangkuan UMNO setelah melihat parti ini berjaya menamatkan beberapa polemik politik yang telah menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi sewaktu pandemik Covid-19 yang membadai negara.

“Saya menyatakan sokongan penuh kepada Naib Presiden UMNO yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

“Saya berharap Perdana Menteri dapat menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan borang kepada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Turut bersama beliau menyertai UMNO ialah kepimpinan tertinggi Bahagian Bersatu Putrajaya termasuk Naib Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian, Ahli Jawatankuasa Bahagian, kepimpinan Srikandi dan Armada serta lebih 120 orang ahli Bersatu Putrajaya.

Sepanjang bersama Bersatu Putrajaya, Dr. Erwan menang dalam pertandingan tiga penjuru merebutu jawatan ketua bahagian  menewaskan penyandangnya, Hasnul Hadi Ahmad dengan majoriti 14 undi.

Beliau yang merupakan seorang usahawan turut menewaskan pencabar keduanya, Muhammad Kushairi Ab. Ghani, yang menyaksikan 1,684 ahli mewakili tujuh cawangan Bersatu Putrajaya mengundi di Auditorium Pusat Kejiranan Presint 16, pada Februari tahun lalu.

Ketika bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau antara yang lantang mencadangkan pasukan elit Polis Diraja Malaysia iaitu Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) diwujudkan semula dalam usaha membendung jenayah. – MalaysiaGazette