Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.

KUALA LUMPUR – “Jangan libatkan saya dengan komplot pihak tertentu yang hendak menjatuhkan kerajaan Melaka.”

Itu tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu tetap dengan keputusannya untuk bersama kerajaan negeri sekarang yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Sebagai pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) saya menafikan turut terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan negeri ketika ini.

“Saya tetap dengan pendirian menyokong Sulaiman sebagai Ketua Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sebolehnya, saya mahu kemelut politik ini dihentikan segera demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Melaka,” katanya.

Dalam desas desus itu, nama Mohd. Rafiq turut dikaitkan dengan spekulasi rancangan menjatuhkan kerajaan negeri.

Ia timbul selepas perjumpaannya dengan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Azman Hassan.

Bagaimanapun, Idris yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka turut menafikan perkara itu.

Semalam, media melaporkan, Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa berikutan timbul spekulasi empat ADUN kerajaan akan lompat ke Pakatan Harapan (PH).

Menurut Mohd Rafiq, beliau mengetahui khabar angin itu selepas membaca berita mengenainya di media arus perdana dan media sosial. – MalaysiaGazette