Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) tidak merekodkan lokaliti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan jangkitan Covid-19 yang terkawal.

namun hari ini, penilaian risiko KKM membentangkan kepada kerajaan dua lokaliti akan dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 3 dan 4 Oktober hingga 16 dan 17 Oktober 2021.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, dua lokaliti itu ialah masing-masing satu di Perak dan Sabah.

Rodzi Md. Saad

Katanya, di Perak melibatkan Kampung Orang Asli Chadak, Tanjung Rambutan di Kinta yang berkuatkuasa 3 hingga 16 Oktober, manakala di Sabah pula, Kampung Mokodou di Ranau berkuatkuasa pelaksanaannya pada 4 hingga 17 Oktober ini.

Menurut beliau, KKM juga membentangkan penilaian risiko untuk lokaliti yang dilanjutkan di Kampung Orang Asli Ulu Pareh di Bentong, Pahang bermula 4 hingga 17 Oktober.

Sementara itu, enam lokaliti ditamatkan pelaksanaan PKPD bermula hari ini dan esok 3 Oktober.

Lokaliti itu ialah Kampung Tamu Darat di Kota Belud, Sabah yang ditamatkan 3 Oktober, diikuti tiga kawasan di Pahang iaitu Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong dalam Mukim Ulu Tenom, Cameron Highlands, Pahang, juga bermula 3 Oktober.

Dua lagi lokaliti ditamatkan PKPD ialah Kampung Orang Asli Sungai Koi, Hulu Cheka di Jerantut dan PASDEC Bandar Damansara di Kuantan, Pahang masing-masing tamat hari ini. – MalaysiaGazette