Bakal pemilih berumur 18 tahun dan ke atas boleh mula membuat semakan rekod diri bermula semalam.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan tempoh satu bulan untuk bakal pemilih berumur 18 tahun dan ke atas membuat semakan serta mengesahkan rekod masing-masing dengan agensi itu.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, tempoh itu bermula semalam sehingga 31 Oktober ini menerusi Semakan pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA).

Katanya, bakal pemilih boleh membuat semakan melalui dua kaedah iaitu aplikasi MySPR SPPA di https://mysprsppa.spr.gov.my atau hadir ke 594 tempat semakan SPR seluruh negara dan mengimbas Kod QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan.

“Bagi tujuan ini, SPR akan mempamerkan maklumat bagi 5.8 juta bakal pemilih dan memberi peluang kepada mereka untuk menyemak dan mengesahkan rekod dengan SPR.

“Dalam tempoh ini, mana-mana warganegara berumur 18 tahun dan ke atas yang belum mendaftar boleh menyemak, mengesahkan maklumat serta membuat aduan dengan SPR sebelum didaftarkan sebagai pemilih secara automatik,” katanya dalam kenyataan.

Ikmalrudin menyeru kepada bakal pemilih berumur 18 tahun dan ke atas untuk menyemak dan mengesahkan maklumat mereka dengan SPR.

Kata beliau, sekiranya tidak lagi tinggal di alamat dipaparkan, mereka dinasihat mengemaskini alamat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selewat-lewatnya 31 Oktober ini.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai SPPA ini, orang ramai boleh hubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau layari portal www.spr.gov.my. – MalaysiaGazette