Portal negara jiran, Suara.Com telah melaporkan berita tidak benar mengenai Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pasukan respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengesan satu laporan palsu yang disebarkan sebuah media negara jiran berhubung varian Mu sudah masuk ke negara ini.

Berita yang disiarkan portal Suara.Com bertajuk Covid-19 Varian Mu sudah masuk Malaysia, Dokter Paru: Indonesia jangan kecolongan lagi seperti tersebar dan tular di media sosial adalah palsu.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan kesahihan kandungan berita di portal berkenaan.

Berita itu antaranya turut mendakwa kononnya terdapat varian baharu Covid-19 yang dikenali sebagai ‘Varian Mu’ telah memasuki Malaysia yang bermutasi lebih pantas berbanding varian sedia ada.

Justeru, KKM minta orang ramai tidak menyebarkan berita tidak benar yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Sebaliknya, orang ramai disaran merujuk media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini. – MalaysiaGazette