Mohammad Hussin

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pelaksanaan polisi nombor telefon mudah alih tunggal ke atas semua pemegang akaun ASNB dalam inisiatif terkini untuk memberi perlindungan data peribadi dan privasi yang lebih baik.

Polisi ini telah mula dilaksanakan pada 25 September 2021 sebagai salah satu usaha penambahbaikan utama ke atas portal pelaburan dalam talian dan aplikasi mudah alih myASNB.

Penambahbaikan ini merupakan peningkatan utama pada antara muka dan pengalaman pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, sebelum ini ASNB membenarkan perkongsian nombor telefon untuk akaun-akaun yang berbeza bagi memudahkan para pemegang unit mengurus akaun milik ahli keluarga, khususnya ibu bapa yang berusia dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Pada ketika itu, telefon mudah alih digunakan terutamanya bagi tujuan komunikasi dan bukan untuk mengesahkan sebarang transaksi.

”Walau bagaimanapun, dengan tersedianya pelbagai kemudahan transaksi dalam talian di portal dan aplikasi myASNB, nombor telefon mudah alih kini digunakan untuk tujuan pengenalan dan juga pengesahan.

”Polisi nombor tunggal ini akan meningkatkan lagi keselamatan untuk semua pengguna,” tambah beliau.

Mohammad berkata, ASNB maklum polisi ini akan menimbulkan sedikit kesulitan kepada para pemegang unit berbanding pendekatan yang lebih fleksibel sebelum ini.
]
Tetapi ASNB yakin para pemegang unit sedar ancaman terhadap data peribadi dan privasi semakin meningkat sejak kebelakangan ini, dan pentingnya ASNB mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian untuk melindungi pelaburan para pelabur.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, para pemegang unit ASNB yang mempunyai rekod duplikasi nombor telefon dalam pelbagai akaun telah dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel untuk mengunjungi cawangan dan ejen ASNB terdekat bagi tujuan pengesahan nombor telefon.

Seterusnya, ASNB akan mengaktifkan peraturan satu nombor satu akaun dan membatalkan penggunaan nombor telefon yang sama ke atas akaun-akaun ASNB yang lain.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pemegang unit boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 (8 pagi – 8 malam setiap hari) atau e-mel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast