Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah akan mempertahankan kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menegaskan perkara itu berkata, ia termasuk di kawasan yang wakil-wakil rakyatnya melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Di Sabah kita ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi apabila parti membuat keputusan untuk kita bertanding maka UMNO tiada pilihan.

“UMNO kena mempertahankan kerusi-kerusi yang ditandingi dan seterusnya akan memperkasakan parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersedia melawan UMNO dalam pilihan raya akan datang sekiranya parti itu kekal dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menambah,  selaku ketua parti di peringkat negeri pihaknya sedia untuk berhadapan dengan mana-mana parti termasuk PPBM dan sebagainya.

Tegas beliau, UMNO Sabah telah mengharungi pelbagai dugaan yang besar – pernah menang, pernah kalah dan menang semua.

”Jadi ini bukan satu rintangan yang besar untuk kita semua bertentangan dengan mana-mana parti dalam PRU akan datang,” katanya.

Beliau turut meminta agar semua jentera parti di semua peringkat untuk sentiasa bersedia menghadapi PRU akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast