Abdul Azeez Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ‘memanaskan’ Dewan Rakyat hari ini dengan desakan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau menegaskan, RCI itu penting bagi merungkai isu yang mengheret beberapa pemimpin UMNO ke mahkamah sehingga digelar sebagai pencuri, penyangak dan kluster mahkamah oleh Pakatan Harapan (PH).

“Kalau kerajaan, kepemimpinan UMNO dan pembangkang dari PH bersetuju menubuhkan RCI Tabung Haji, kenapa tidak melakukan perkara sama, iaitu menubuhkan RCI Tommy Thomas.

“Kita mengamalkan dasar dan prinsip berani kerana benar. Kita tidak mahu dianiayai oleh pihak tertentu kerana untuk kepentingan politik. Kita mahukan keadilan dan biar RCI yang menjalankan siasatan mengenai tuduhan itu terhadap kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan menyokong pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen, hari ini.

Menurut Abdul Azeez, UMNO selama ini tidak pernah mempersoalkan Tommy ketika memegang jawatan Peguam Negara di era kerajaan PH menggugurkan sekurang-kurangnya 15 kes melibatkan pemimpin mereka.

Tetapi, katanya, pada sidang Parlimen minggu lalu, Ahli Parlimen Sepang, Datuk Mohamad Hanipa Maidin (PH) mempersoalkan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Aman Musa dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Pada 30 September lalu, Mohamad Hanipa bertanyakan soalan kepada dewan sama ada SPRM benar-benar bebas dan berintergriti kerana kononnya banyak kes yang dibawa ke pendakwaan telah dilepaskan oleh mahkamah

“Kes yang disebut antaranya kes Musa (Aman) dan Ahmad Maslan, malah Sepang dengan jelas telah meminta supaya Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meletakkan jawatan di atas alasan terlalu banyak kes yang digugurkan.

“Saya amat tertarik dengan isu ini dan memohon Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) menjawab berkenaan dengan kes 15 kes yang telah digugurkan oleh Tommy semasa PH memerintah. Waktu itu Sepang adalah Timbalan Menteri Undang-Undang,” katanya.

Abdul Azeez mempersoalkan mengapa perkara itu berlaku dan mengapa ada pilih kasih dan mahu penjelasan dari Peguam Negara sekarang.

Katanya, ketika itu, tidak ada seorang pun daripada UMNO yang menjadi pembangkang mempersoalkannya kerana mereka menghormati segala keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara dan mahkamah.

“Kita mesti patuh kepada undang-undang. Jadi, kenapa hari ini pembangkang (PH) hendak manipulasi atas segala keputusan yang dibuat, malah suruh Peguam Negara dan beberapa lagi letak jawatan

“Zaman PH, mereka menggunakan perkara yang sama dan bila ditarik, kami tidak pula desak suruh mereka letak jawatan, sebab kami menghormati keputusan mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette