Azalina Othman said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak perlu meminta maaf kepada Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman seperti didesak oleh pembangkang.

Sebaliknya, beliau boleh berbuat demikian secara rasmi sekiranya ada usul dimasukkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen akan datang.

Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, padanya desakan Ahli Parlimen Jelutong, SN Rayer (PH) itu boleh dimasukkan dalam usul dan dikemukakan kepada Datuk Azhar Azizan Harun.

Jelutong membangkitkan hal itu pada permulaan sidang sesi petang hari ini, selepas tidak berpuas hati dengan kenyataan Ahmad yang mendakwa telah dijadikan mangsa sehingga diheret ke mahkamah.

Beliau yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 29 September lalu, berdepan dengan tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan selepas Ahmad bersetuju kesnya dikompaun RM1.1 juta.

Terdahulu, Ahmad Shahrir dalam penghakimannya berkata, dalam membuat permohonan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan tertuduh tidak akan dihadapkan semula dengan pertuduhan yang sama di masa akan datang.

Menurut SN Rayer, pada Khamis lalu, ketika Ahmad membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah mengeluarkan antara lain kenyataan bahawa beliau telah menjadi mangsa dan telah mengembalikan RM1.1 juta kepada Najib.

Katanya, kenyataan itu telah menimbulkan pelbagai polemik terutama rakyat akan mempersoalkan sama ada bolehkah seorang pencuri memulangkan semula barang curian itu kepada pemiliknya dan dilepaskan dari pertuduhan.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, beliau tidak mempengerusi persidangan ketika Ahmad mengeluarkan kenyataan itu.

“Kalau saya yang mempengerusikan pada masa itu, memang saya akan rujuk Perkara 36(2) iaitu tidak boleh disebutkan apa-apa perkara sedang dalam timbangan mahkamah, sekiranya pada pertimbangan pengerusi harus merosakkan kepentingan pihak yang berbicara.

“Itu kalau saya mempengerusi dan saya tidak berhadapan dengan situasi itu untuk bantahan. Dalam masa saya mempengerusi, saya tidak akan benarkan ada subjudis tapi kalau speaker, terpulanglah kepadanya untuk buat rumusan.

“Dalam isu perlunya tarik balik ini, saya hanya boleh cadangkan Jelutong masukkan usul dan biar speaker yang membuat timbangannya,” katanya.

Bagi beliau, kalau kes itu sudah selesai, maka habislah.

“Jadi, Pontian tak payahlah nak jawab, kecuali usul dimasukkan oleh speaker, baru boleh jawab secara rasmi,” katanya. – MalaysiaGazette