Abd Razak (atas jengkaut) melihat bot nelayan dilupuskan di tahanan vesel Limbongan Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.

BATU MAUNG – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang melupuskan empat bot milik nelayan tempatan selepas didapati melanggar Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985.

Kesemua empat bot yang dianggarkan bernilai RM90,000 itu dilupuskan dengan jengkaut di tahanan vesel Limbongan Batu Maung di sini hari ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, keempat-empat bot itu telah dilucutkan hak secara berasingan bermula 23 Januari tahun lalu hingga 14 Januari lepas.

Abd Razak (depan).

Jelas beliau, tiga daripada bot itu didapati menggunakan bot pukat rawa sorong di mana ia merupakan peralatan menangkap ikan yang dilarang manakala sebuah lagi bot nelayan tempatan kelas A pula, didapati sudah tamat tempoh lesen.

Kata Abd Razak, proses pelupusan hanya membabitkan bahagian badan bot manakala enjinnya sudah dilelong dan hasil lelongan berjumlah RM8,500 diserah kepada kerajaan.

“Mengikut Akta Perikanan 1985 semua rampasan ini perlu dimusnah tanam atau musnah buang selepas mendapat kelulusan daripada pihak mahkamah.

“Selain itu, tindakan ini juga menunjukkan ketegasan APMM supaya nelayan dan komuniti maritim mengikut peraturan undang-undang yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Keempat-empat bot yang dilupuskan itu milik nelayan tempatan.

Ketika diminta mengulas kenapa bot berkenaan tidak dilelong, Abd Razak memberitahu, bot berkenaan tidak boleh dijual kerana dikhuatiri pembeli akan menggunakannya semula sekaligus berlaku kesalahan berulang.

“Selain itu, bot ini tidak besar seperti bot Vietnam untuk kita buat tukun di laut malah kita bimbang ada pihak mengeluarkan semula bot ini dari dasar laut untuk kepentingan mereka,” kata beliau,

Mengulas lanjut, Abd Razak berkata, pihaknya kini sedang menunggu perintah mahkamah untuk melucutkan hak tujuh buah bot termasuk barang eksibit lain iaitu bubu naga dan dadah yang dianggarkan bernilai hampir RM 116.3 juta.

“APMM akan terus memastikan kesejahteraan dan keselamatan perairan negara terutama di Pulau Pinang agar sentiasa terkawal dari sebarang bentuk pelakuan jenayah maritim.

Proses pelupusan dilakukan selepas mendapat perintah mahkamah.

“Individu yang mempunyai sebarang maklumat, aduan atau kecemasan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146 atau MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil,” katanya. – MalaysiaGazette