Ahmad Zahid Hamidi Klang Valley Covid-19 vaccination risk
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Tempoh 100 hari yang disasarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memenuhi kayu ukur, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kabinet tinggal 56 hari sahaja lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap KPI itu dapat dipenuhi dengan jayanya atau Kabinet akan menghadapi masalah untuk membuat pemulihan imej.

Beliau percaya banyak rintangan dan kemustahilan untuk mencapai matlamat dalam masa 100 hari itu.

Bagaimanapun, ujarnya, paling tidak, dalam beberapa tindakan sewaktu tempoh itu, kerajaan mampu membawa cahaya harapan kepada ramai rakyat yang masih terpinga-pinga mencari penyelesaian selepas diduga oleh Covid-19, malah lebih awal oleh beberapa tindakan kerajaan sebelum ini.

Menurut Ahmad Zahid, dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), beliau percaya, kepentingan negara hendaklah didahulukan, bukan melayan kepentingan sempit mana-mana golongan.

“Kerajaan juga perlu sedar RMK-12 ini akan melalui kajian separuh penggal dalam masa dua tahun dari sekarang.

“Tahniah kepada kerajaan kerana berjaya melancarkan RMK-12 yang tertangguh beberapa kali,” katanya dalam sesi perbahasan RMK-12 di Parlimen, hari ini.

Beliau bersetuju cadangan kerajaan untuk menangani keadaan semasa dan membuat pemulihan ke atas pembangunan sosio-ekonomi negara, di samping mewujudkan kemakmuran serta penglibatan seluruh rakyat secara inklusif.

Katanya, semua maklum mengenai kesan besar serangan Covid-19 ke atas masyarakat sehingga mengubah struktur masyarakat khususnya daripada segi ekonomi.

“Jika sebelum serangan Covid-19, masyarakat Malaysia adalah berbentuk berlian, di mana golongan berpendapatan menengah adalah bilangan majoriti, tetapi kesan ke atas ekonomi negara menyebabkan ramai hilang pekerjaan, pelbagai usaha niaga ditutup dan ramai pula muflis.

“Dengan itu, masyarakat Malaysia berubah menjadi masyarakat berstruktur piramid, iaitu bilangan rakyat yang dikategorikan sebagai berpendapatan rendah sudah menjadi jauh lebih besar daripada bilangan berpendapatan menengah.

“Malah, istilah B40 mungkin tidak sesuai lagi digunakan pada masa ini kerana bilangan rakyat yang berada pada paras pendapatan rendah lebih daripada 40 peratus,” katanya.

Oleh itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berharap, melalui pelaksanaan RMK-12, semua pihak bekerjasama menstrukturkan semula masyarakat secepat mungkin agar menjadi ‘masyarakat berlian’ seperti yang wujud sebelum Covid-19. – MalaysiaGazette