Ahmad Zahid Hamidi

 

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan kelulusan projek RM38.5 juta menaik taraf Kompleks Seri Perdana adalah tidak masuk akal.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu seolah-olah suatu strategi untuk memesongkan perhatian rakyat daripada fakta utama yang sedang dipersoalkan secara hebat ketika ini – iaitu kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin meluluskan perbelanjaan yang besar untuk kediaman rasmi perdana menteri pada waktu negara sedang berdepan krisis pandemik Covid-19.

Muhyiddin, katanya, mendakwa RM38.5 juta itu termasuk untuk perolehan perabot yang perlu dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana milik peribadi Najib telah dipindah keluar.

”Pertama, bukankah memang menjadi hak PM-6 (Najib) untuk mengambil barangan peribadinya apabila tidak lagi boleh menduduki kediaman rasmi PM tersebut.

”Sama seperti seorang pekerja yang meninggalkan pejabatnya apabila sudah tidak lagi berkhidmat,” katanya.

Lagipun, menurutnya, Najib cuma mengambil barangan peribadinya dari Kompleks Seri Perdana berdasarkan senarai barangan dibenarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 18 November 2020 dan ada bukti yang jelas mengenainya.

Kedua, jika Kompleks Seri Perdana sudah tidak lagi dilengkapi dengan perabot milikan peribadi Najib, maka bukankah wajar ia digantikan dengan perabot peribadi milik perdana menteri yang seterusnya.

”Mengapa perlu menggunakan wang negara yang sepatutnya boleh digunakan untuk membantu rakyat bagi menggantikan perabot peribadi milikan PM-6 yang telah tiada

”Kini persoalan baharu yang perlu dijawab PM-8 adalah mengapa beliau menggantikan perabot peribadi milikan PM-6 di Seri Perdana dengan menggunakan wang negara,” soalnya.

Sedangkan, rakyat perlukan lebih bantuan dan pada masa kerajaan pimpinan Muhyiddin mendakwa negara sudah tiada wang.

”Berbelanja untuk perabot kediaman rasmi PM diluluskan dengan begitu cekap dan pantas,” ujarnya. – MalaysiaGazette