Johnathan Yasin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 7,374 serbuan dilakukan polis bersama agensi penguat kuasa ke atas premis yang menjalankan aktiviti judi tanpa lesen di seluruh negara dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, lebih 7,700 individu yang terlibat secara langsung dengan aktiviti itu telah ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Jonathan Yassin, jumlah serbuan dan tangkapan itu bermula dari 1 Januari hingga 31 Ogos lalu.

Kata beliau, KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil perhatian serius terhadap isu perjudian tanpa lesen, termasuk mendapatkan pandangan dan makluman dari pelbagai pihak.

“Polis akan melipat gandakan usaha memastikan aktiviti judi tanpa lesen ini dapat dibendung dengan lebih berkesan.

“Sepanjang tempoh PKP atau Pelan Pemulihan Negara, sektor perjudian berlesen yang dikawal oleh Kementerian Kewangan adalah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

“Namun, sindiket yang menjalankan loteri awam tanpa lesen ini tetap meneruskan aktiviti mereka dengan penjualan secara cabutan yang dijalankan di negara luar seperti Singapuran, Kemboja dan China,” katanya di Parlimen hari ini.

Johnathan berkata, susulan itu, antara tindakan diambil polis termasuk ke atas pemain, penjaga premis dan penganjur loteri awam tanpa lesen di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, pihaknya juga mengenalpasti individu dan sindiket yang terlibat dalam aktiviti itu serta mendakwa mereka bawah undang-undang berkaitan.

“Selain itu, tindakan lebih tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang lain yang berkaitan iaitu Akta Pencegahan Jenayah (POCA) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada AKtiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Kita juga meneruskan pemantauan ke atas premis yang pernah dibuat serbuan judi dan loteri awam tanpa lesen serta meningkatkan serbuan secara berterusan.

“Selain itu, kita bekerjasama dengan agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan bagi pembatalan lesen perniagaan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) syarikat air untuk untuk pemotongan bekalan letrik dan air,” katanya. – MalaysiaGazette