Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Akta Lompat Parti boleh dilaksanakan melalui dua sistem, antaranya meletakkan kuasa dan hak kepada rakyat untuk membuat keputusan sama ada mengadakan pilihan raya atau sebaliknya.

Dalam masa yang sama, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, akta itu boleh dikuatkuasakan dengan meletakkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah hak parti.

“Macam mana nak dibuat akta itu terpulang, kerana ada negara-negara yang mengamalkan demokrasi di United Kingdom (UK) ada sistem yang mana jika Ahli Parlimen lompat parti, pengundi di situ boleh buat memorandum hantar petisyen kalau cukup bilangannya katakan 40 peratus pengundi untuk buat pilihan semula dan buat pilihan semula.

“Atau ada lagi satu sistem di mana kerusi tersebut kepunyaan parti. Kalau penyandang meninggal atau lompat, parti boleh menamakan calon kerana kerusi itu dipunyakan parti itu boleh juga,” katanya,

Beliau menyatakan demikian pada program Bual Bicara Terus Terang yang disiarkan menerusi Facebook Umno Online, malam ini.

Menurut Mohamad, pembentukan akta ini perlu disegerakan supaya pentadbiran kerajaan dapat berjalan lancar, sekali gus tidak menyusahkan rakyat.

Tambah beliau, apa yang penting kerajaan tidak diganggu gugat dan negara serta negeri tidak terjerumus dalam krisis politik.

“Dah pilihan raya, rakyat sudah buat keputusan maka henti berpolitik teruskan usaha menguruskan negara.

“Kita mesti ada undang-undang supaya kita boleh mengawal selia supaya acara lompat melompat dapat kita hentikan kerana ini tidak sihat dan yang mendapat akibat tidak baik adalah rakyat negara tidak stabil.

“Rakyat beri mandat ikutlah jangan khianati mandat yang diberikan rakyat,” tambahnya sambil memberi contoh apa yang berlaku pada kerajaan negeri Melaka pada hari ini membuktikan keperluan penggubalan Akta Lompat Parti.

Sehubungan itu, Mohamad Hasan berharap agar Parlimen yang sedang bersidang mempertimbangkan semua cadangan penggubalan akta tersebut bagi menghalang tindakan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lompat parti.

“Saya harap supaya untuk kita reformasikan institusi perlu diadakan supaya Parlimen yang sedang bersidang lihatlah sebaik mungkin supaya cadangan yang dibuat untuk kita pastikan Akta Lompat Parti ini diambil perhatiannya kalau tidak tidak akan ada sudahnya.

“Kat atas parti, esok dia lompat. Sekarang nak masuk musim hujan, harga katak mahal ni,” seloroh beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast