Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Sabah meminta kerajaan Persekutuan memberi autonomi bagi membolehkan menterinya mengurus sendiri pembangunan ekonomi negeri itu.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, selama 58 tahun dengan kerajaan Persekutuan silih bertukar ganti, rakyat Sabah masih miskin dan negerinya tetap mundur.

“Dalam konteks Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini, saya ingin memohon kepada kerajaan Persekutuan agar kena ubah cara pendekatan melaksanakan pembangunan ekonomi untuk Sabah dan wilayahnya.

“Beri kepada kami autonomi untuk mengurus dana pembangunan dan ekonomi bagi memastikan Sabah akan keluar dari garis kemiskinan yang tertinggi di negara ini.

“Ini penting, sekiranya satu tahun pembangunan RMK-12 untuk Sabah diperuntukan RM5 bilion atau RM6 bilion, maka beri duit itu kepada Sabah. Biar kami rancang dan laksanakan, biar kami tentukan di mana projek-projek yang sesuai dilaksanakan,” katanya di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, sejak sekian lama Sabah masih miskin kerana kerajaan Persekutuan dan kali ini digunakan pendekatan berbeza demi memastikan wilayah itu membangun seperti wilayah lain. – MalaysiaGazette