Sithara Jagatheesan menunggukan isyarat tangan dengan anaknya,Tharhani pada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas selepas tamat waktu persekolahan sekolah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette semasa sesi persekolahan bersemuka mengikut Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Semalam dan hari ini merupakan hari pertama sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka  di negara ini.

Ia melibatkan murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Selain itu, pelajar semester dua Tingkatan Enam, International Baccalaureate Diploma (IBD) tahun dua, Program Pra Universiti Semester tiga di Sekolah Sukan Sukan Malaysia dan Murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP) juga memulakan sesi persekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara di negeri masing-masing.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa buah sekolah SKPK di sini mendapati ibu bapa dan penjaga serta barisan guru mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Bagi ibu kepada seorang pelajar, Sithara Jagatheesan, 44, persekolahan secara bersemuka adalah lebih baik buat anaknya, Tharhani, 13, berbanding pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Sithara Jagatheesan . Foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2021.

“Memang kita berdebar-debar tapi, malam tadi dia (Tharhani) tak tidur. Dia terlalu seronok mahu berjumpa kawan dan datang ke sekolah, jumpa guru,” katanya yang juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah berhampiran.

Sitahara yakin pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diterapkan pihak sekolah mampu membendung risiko pelajar boleh dijangkiti Covid-19 sewaktu di sekolah.

“Kita sudah biasa dengan SOP, jadi amalan ini sangat baik untuk kita dan anak saya patuh SOP,” tambahnya.

Ketika ditemui selepas sesi persekolahannya, Tharhani yang merupakan pelajar orang kurang upaya (OKU) Pelbagai (MD), di sebuah SKPK di sini dilihat ceria walaupun tidak dapat bertemu rakan sekelas seperti kebiasaan.

Beliau juga seronok apabila mengetahui akan kembali ke sekolah berkenaan keesokan hari.

Sesi persekolahan secara bersemuka telah bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah semalam, selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan Covid-19.- MalaysiaGazette