Datuk Norliza Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Kenyataan berunsur perkauman terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara, S.Kisona dikecam.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, tidakan menghina atlet yang membawa nama negara dalam Kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaan, Finland perlu dielakkan.

“Tindakan segelintir rakyat Malaysia yang masih berfikiran jumud ini perlu dielakkan sama sekali. Kenyataan buruk seperti ini tidak harus ada.

“Sukan adalah satu-satunya platform yang menyatupadukan semua rakyat dan amatlah bersesuaian dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Norliza, komen sedemikian menganggu rasa teruja rakyat negara ini dengan persembahan semua pemain Malaysia dalam aksi Piala Sudirman termasuk Kisona yang jelas membuktikan semangat juang dalam setiap permainannya.

“Janganlah kita sebagai peminat sukan tanah air mengkritik sehingga perkara yang melibatkan agama, bangsa mahu pun warna kulit. Menang atau kalah, itu adalah adat permainan dalam sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ekoran komen jelik netizen berbau perkauman terhadap Kisiona baru-baru ini.

Menurut Norliza, Kisona seorang pemain wanita muda berusia 23 tahun dan adalah pemain ranking ke-53 dunia dan beliau bukanlah baharu dalam sukan badminton tanah air malah dia antara pemain senior di Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau juga, katanya, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 selain beberapa kejuaraan antarabangsa yang disertainya sejak 2017 bergelar pemain negara.

Lebih menarik, katanya, Kisona mempunyai kebolehan bertutur dalam lima bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis selain bahasa ibundanya, Tamil yang jelas sangat bertepatan dengan konsep “Keluarga Malaysia.

“Teruskan kecemerlangan Kisona serta semua pemain badminton negara kerana rakyat Malaysia sentiasa memberi sokongan kepada pasukan negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette