Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – AirAsia Group Bhd telah menerima kelulusan oleh Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) untuk 80 peratus pinjaman yang dijamin sehingga RM500 juta di bawah Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin.

Skim itu merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Malaysia berikutan pandemik COVID-19.

Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun berkata, kelulusan daripada kerajaan merupakan sokongan yang kuat terhadap kemampuan AirAsia Group untuk pulih dengan lebih cepat dan memacu keseluruhan strategi pengumpulan dana dalam persediaan untuk kembali beroperasi dalam semua pasaran utama.

“Negara-negara di seluruh dunia, termasuk di rantau ini telah mula membuka semula sempadan antarabangsa berikutan kadar vaksinasi yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kadar vaksinasi dewasa di Malaysia kini hampir 90 peratus, dan sempadan domestik dijangka akan dibuka setelah negara mencapai sasaran itu.

“Gelembung perjalanan Langkawi merupakan kejayaan besar sejak ia dilancarkan dan kami telah melihat permintaan yang luar biasa menerusi 90 perkhidmatan penerbangan seminggu dari 16 September.

“Kami juga telah melihat pembukaan secara beransur-ansur di Thailand, Indonesia dan Filipina apabila kami kembali beroperasi,” kata Kamarudin.

Beliau berkata, dalam pada negara-negara di rantau ini meneruskan perbincangan untuk membuka semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur dan melaksanakan gelembung perjalanan, pihaknya yakin bahawa perkhidmatannya akan pulih dalam waktu terdekat.

Pinjaman tersebut telah diluluskan oleh pemberi pinjaman AAGB di bawah kemudahan pembiayaan bersindiket, dengan jaminan oleh Danajamin melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sebuah entiti milik penuh Kementerian Kewangan.

Katanya pembiayaan tersebut diperuntukkan untuk modal kerja, yang akan menampung kos kakitangan dan perbelanjaan operasi utama seperti penyelenggaraan pesawat dalam persediaan AAGB untuk meningkatkan operasinya sempena pembukaan semula sempadan domestik dan antarabangsa dalam waktu terdekat. – Bernama