KL City menjalinkan kerjasama unik dengan juara Pro Gulf League dari Iran, Sepahan SC.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur (KL City) mengumumkan kerjasama unik dengan juara Pro Gulf League sebanyak lima kali dari Iran, Sepahan SC.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Duta Besar Iran di Malaysia, Ali Ashgar Mohammadi dan Pengerusi Lembaga Pengarah Kuala Lumpur United Football Club Sdn. Bhd., Khalid Abd Samad.

KL City dalam satu kenyataan memberitahu, perjanjian itu dapat memberi manfaat dan pengetahuan yang lebih lagi kepada kedua-dua kelab bola sepak ini bukan sahaja melalui perkongsian pendidikan jurulatih dan maklumat teknikal dalam permainan bola sepak, tetapi dari segi pentadbiran kelab bola sepak secara keseluruhan.

Malah kerjasama juga melibatkan perlawanan persahabatan di antara Sepahan SC yang merupakan bekas finalis Liga Juara-Juara AFC dan KL City yang akan membantu dari segi perniagaan.

Khalid juga mengakui bahawa perjanjian itu peluang yang baik untuk KL City serta menyifatkan Sepahan adalah sebuah kelab yang mantap dan terkenal di arena bola sepak.

“Perjanjian ini bukan sahaja yang pertama di antara kelab bola sepak di Malaysia dan Iran tetapi juga merupakan salah satu tindakan terbaru KL City untuk menerapkan amalan-amalan baik daripada kelab-kelab bola sepak antarabangsa yang berjaya kepada KLCFC.

“Ini juga merupakan salah satu usaha serius KL City untuk mengembalikan era kegemilangan mereka pada tahun 1980-an dan 90-an,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast