Ros Hanita Mohamad Basir

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan pelantikan anak muda, Danesh Raj Nagarajan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Malaya (UM) sebagai suatu yang mengejutkan.

Ketuanya, Ros Hanita Mohd Basir berkata, pelantikan ahli Putera MIC dan juga graduan Pusat Kebudayaan UM dalam bidang seni tari itu sangat tidak tepat.

“Keputusan ini sangat tergesa-gesa untuk memenuhi kerusi Lembaga Pengarah, sedangkan UM adalah sebuah universiti terkemuka dan patut diisi oleh anak muda dalam bidang kritikal yang strategik.

“Menjadi tanda tanya, apakah Danesh cukup matang dan berpengalaman untuk memegang jawatan tersebut, sedangkan kita tahu umur beliau baru mencecah 26 tahun.

“Mampukah beliau memikul tanggungjawab besar ini? Dan difahamkan Danesh adalah pegawai kepada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azlina Othman Said,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi menjelaskan pelantikan Danesh sebagai LPU, UM adalah bersesuaian dengan kepercayaan kerajaan kepada golongan muda.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad memberitahu Dewan Rakyat, pelantikan anak muda berusia 26 tahun itu turut mengambil kira penglibatannya dengan alumni universiti berkenaan.

Menurut Ros Hanita, masih ramai lagi graduan UM yang berkelayakan dan berpengalaman boleh diangkat menjadi LPU di universiti itu.

Katanya, Wiranita Putra amat mengesali keputusan itu kerana Noraini telah bersetuju dengan lantikan tersebut yang dianggap sebagai amat memalukan dan mencemar imej UM.

“Kita tidak menolak anak muda untuk menerajui jawatan LPU UM kerana pandangan dan cetusan idea anak muda ini lebih ke hadapan dan bernas, tetapi tidaklah semuda ini kerana pengalamannya masih tidak menyeluruh untuk menggalas jawatan itu.

“Ramai lagi anak muda berkelulusan tinggi dan berpengalaman yang lebih sesuai untuk menerajui jawatan tersebut.

“Wiranita Putra mengesali tindakan UM melantik jawatan LPU yang bukan dari mereka yang lebih layak dan berpengalaman untuk mengisi jawatan itu,” katanya.

Beliau berkata, keputusan UM untuk mengisi jawatan LPU itu amat tidak masuk akal dan mengecewakan. – MalaysiaGazette